“Saya memang lempang semua murid, kalau tak suka pergi sekolah lain” – Wanita dakwa anak dilempang pengetua
“Saya memang lempang semua murid, kalau tak suka pergi sekolah lain” – Wanita dakwa anak dilempang pengetua
Penggemar sukan lasak, Tahira Najmunisaa Muhamad mendakwa anaknya telah dilempang oleh pengetua gara-gara terlewat hadir ke sekolah.
Katanya, ketika kejadian cuaca hujan lebat dan hanya satu sahaja pintu dibuka sehingga menyebabkan berlaku kesesakan akibat ramai penjaga menghantar anak mereka menggunakan kereta.
Bercerita lanjut, Tahira memberitahu dia sempat hadir ke sekolah untuk bersemuka secara tertutup dengan pengetua terbabit bagi meminta penjelasan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Bagaimanapun, pengetua itu dikatakan mula bercakap dengan nada kasar sehingga menyindir Tahira sekiranya tidak selesa dengan caranya ‘mendidik’ pelajar, boleh memohon untuk berpindah ke sekolah lain.
“Saya memang lempang semua murid, kalau tak suka cara saya, boleh pergi sekolah lain,” kata pengetua terbabit yang diceritakan semula oleh Tahira menerusi video dimuat naik di Instagramnya kelmarin.
Pemenang pingat perak acara duathlon di Sukan Sea Hanoi 2022 itu berkata, anaknya kini mengalami trauma akibat insiden tersebut sehingga takut ke sekolah kerana bimbang dibuli oleh pengetua terbabit.
“Seminggu dia tak nak pergi sekolah, dia kata kenapa ada buli macam ini. Dia sampai rasa ‘down’, trauma.
“Bukan ini cara nak mendidik, bukan dengan cara lempang budak sesuka hati,” katanya.
Tambahnya, dia dan suami sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut agar ia menjadi pengajaran kepada guru-guru yang lain.