“Dikurung dalam bilik air, kepala dicepuk” – Ibu dedah anak istimewa didera guru tadika
Seorang wanita meluahkan rasa kecewa dan kesal dengan tindakan seorang guru taska di Semenyih yang didakwa telah mendera anak perempuannya.
Menerusi hantaran di Facebook, wanita ini berkongsikan dia mendapat panggilan daripada pihak pengurusan taska yang menyatakan anak istimewanya tidak dapat dijaga lagi di bawah pengurusan taska tersebut. Bagaimanapun didapati rupanya ada perkara yang disembunyikan.
“Rupanya Noura clearly dikeluarkan sbb dia salah seorang mangsa dera. Cepat-cepat nak tutup cerita nampaknya. Mesti tak sangka mak noura boleh tau jugak akhirnya kan,” tulisnya.
Dakwa wanita ini, anaknya pernah dikurung dan dibiarkan dalam bilik air menangis.
“Dicepuk cepuknya kepala anak kita. Dibiar dalam bilik air menangis. Dikurung tak bagi keluar. Tak sanggup ibu abi nak mintak tengok cctv. Yang tertangkap ni pun meruntun hati. Bayangkan lah kalau hari-hari dicepuk kepala dan badan nya.
“Sedih tengok anak seaktif Noura ketakutan dengan teacher gila tu,” katanya.
Beberapa rakaman video menerusi panggilan video (video call) yang dipercayai dirakamkan oleh teman lelaki guru berkenaan turut disertakan dalam hantaran tersebut.
Dikatakan bukan sahaja anak kepada wanita ini menjadi mangsa, malahan anak-anak kecil lain turut menjadi sasaran guru berkenaan.
Difahamkan, pihak pengurusan taska sudah membuat permohonan maaf kepada wanita berkenaan, namun begitu laporan polis sudah dibuat untuk tindakan selanjutnya.