Dikritik hanya tonjol budaya Cina dan India, Festival George Town minta maaf & padam video promosi
Umum mengetahui Georgetown, Pulau Pinang merupakan antara salah sebuah lokasi di Malaysia yang mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).
Pengiktirafan itu dianugerahkan kepada Georgetown kerana ia dilihat mempunyai kepelbagaian budaya dalam seni bina, kehidupan dan landskap bandar yang unik.
Sebagai meraikan pengisytiharan ini, Festival Georgetown mula diadakan sejak tahun 2010 selain daripada bertujuan untuk merayakan serta memelihara budaya seni dan warisan tempatan.
Namun, video promosi Festival Georgetown 2024 pada kali ini mencetuskan perdebatan apabila tiada budaya masyarakat Melayu dipamerkan dalam video tersebut.
Keadaan itu sememangnya mengundang reaksi dan kritikan daripada pelbagai pihak khususnya masyarakat Melayu Pulau Pinang.
Terbaharu, pihak George Town Festival 2024 memohon maaf atas isu yang timbul berhubung siaran video tersebut.
“Pasukan George Town Festival 2024 akan terus mempromosikan Geroge Town Festival sebagai festival yang memupuk semangat muhibah demi mewujudkan masyarakat Malaysia Madani yang makmur.
“Kami mengambil peluang ini untuk memohon maaf atas segala kekurangan dan kesulitan, kekhilafan dan salah faham yang mungkin tertimbul,” jelas mereka dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, mereka mengambil langkah menurunkan semua siaran video berkenaan atas dakwaan menyinggung perasaan budaya Melayu di Pulau Pinang.
Pihaknya turut meluahkan rasa kesal kerana video tersebut dilihat tidak sengaja telah menyinggung perasaan sesetengah kumpulan dan individu.
Jelas pihak Georgetown Festival 2024 lagi, mereka telahpun menjemput wakil daripada pelbagai bangsa untuk sama-sama menjayakan video teaser berkenaan.
“Kesemua perancangan dan promosi George Town Festival 2024 telah mencuba sedaya upaya dalam memastikan perwakilan yang inklusif, komprehensif dan seimbang termasuk dari segi kategori program, kumpulan jantina, umur dan perwakilan etnik dalam semua George Town Festival.
“Kami telah menjemput wakil berbilang bangsa untuk terlibat sama dalam teaser video tersebut.
“Kebudayaan Melayu memang kaya dengan elemen kesenian dan kebudayaan yang telah ditonjolkan dalam George Town Festival setiap tahun,” tulis mereka.
Malah, terdapat lapan (8) program yang telah dirancang khusus bagi individu dan kumpulan Melayu antaranya seperti persembahan PEON, Lawatan Berpandu: Pengalaman Prangin, Persembahan Tarian serta Pameran Seni USM.
Terdahulu, klip video mempromosikan festival yang akan diadakan pada 19 Julai itu mendapat kritikan ramai termasuk parti politik apabila tiada budaya masyarakat Melayu ditonjolkan.
Menerusi semakan kami, antara budaya yang diketengahkan adalah budaya masyarakat Cina dan India.
Antara yang lantang menyuarakan kritikan adalah Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang menerusi Ketua Penerangannya Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
Fawaaz berpendapat, video itu tidak mempromosikan semangat masyarakat Pulau Pinang malah ia dilihat seolah-olah menafikan kewujudan budaya masyarakat Melayu di negeri yang mendapat jolokan Pulau Mutiara itu.
Malah, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gabungan) turut mempunyai pendapat yang sama dengan PAS Pulau Pinang berhubung isu berkenaan.
Presiden Pemenang Tan Sri Mohd Yussof Latiff meluahkan rasa kesal dengan sikap penganjur yang tidak sensitif dengan soal perpaduan selain menafikan kewujudan masyarakat Melayu.