‘Dik Boy’ kaki curi sport rim ditahan

‘Dik Boy’ kaki curi sport rim ditahan

Pantang melihat ‘sport rim’ cantik dan mahal, semua akan dikebasnya.

Namum kegiatan ‘Dik Boy’ yang bergiat aktif mencuri rim aloi kereta di sekitar kawasan Kulim Hi-Tech dan Sungai Kob, tumpas apabila ditahan sepasukan polis dari Unit Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulim, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, serbuan yang dilakukan jam 11 pagi di Taman Mutiara, Sungai Kob berjaya menangkap seorang lelaki berusia 30 tahun tahun yang dipercayai Dik Boy.

“Dalam serbuan itu, pihak polis turut berjaya merampas sport rim yang dicuri yang telah dipasang pada kereta milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, hasil siasatan mendapati suspek telah melakukan lebih daripada tujuh kes kecurian rim aloi kereta.

“Turut ditemui sebuah kereta bersama sport rim yang dilaporkan hilang awal Mac lalu.

“Suspek menggunakan hasil daripada aktiviti jenayah ini untuk membeli bekalan dadah jenis syabu,” katanya.

Hasil semakan rekod mendapati, suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah curi, pecah rumah dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Kesiksaan kerana mencuri kenderaan, dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Suspek bergerak secara bersendirian pada lewat malam dan akan mensasarkan kereta yang diletakkan di kawasan luar pagar rumah.

“Suspek kemudian akan meletakkan batu bata sebagai pelapik kenderaan selepas mencuri sport rim,” katanya lagi. – AA