Didakwa tak dapat duit ‘top up games’, budak tendang ibu kandung

Didakwa tak dapat duit ‘top up games’, budak tendang ibu kandung

 

BELUM reda isu seorang lelaki menetak ibu tiri selain seorang bapa ditumbuk oleh anak tiri pada minggu ini, media sosial kini dikejutkan pula dengan aksi biadab seorang anak menendang seorang wanita dipercayai ibu kandungnya.

Video tular berdurasi 18 saat itu memaparkan, seorang kanak-kanak lelaki memegang objek dipercayai parang, menendang punggung dan memukul ibunya beberapa kali ketika wanita itu sedang menyidai pakaian.

Aksi itu berterusan sehingga ibunya siap menyidai dan kanak-kanak tersebut menendang punggung ibunya sekali lagi sehingga wanita itu masuk ke dalam kediaman mereka.

 

Tidak dapat dipastikan punca, masa dan lokasi sebenar kejadian, namun difahamkan ia berlaku di negara jiran, Thailand berdasarkan bahasa yang digunakan kanak-kanak tersebut.

Menurut Nezzar Skog, kejadian itu berpunca apabila permintaan kanak-kanak tersebut untuk mendapatkan wang tidak dituruti bagi membeli tambah nilai (top up) permainan video dan judi atas talian.

“Ini kes mak bapa manjakan anak lah ni. Apa anak minta, mak bapa bagi. Sampai anak sanggup kakikan mak bapa,” kata pengguna Facebook, Pak Ngah Bard.

WhatsApp Image 2022-02-19 at 6.45.06 PM

TANGKAP layar komen netizen berkaitan kes anak derhaka yang dipercayai berlaku di Thailand.

Terdahulu, seorang lelaki bertindak menetak ibu tirinya menggunakan parang sehingga terputus leher, dalam kejadian di Kampung Batu, Machang, Jerek, dekat Gua Musang, Kelantan pada Rabu.

Suspek direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu depan.

Siasatan awal mendapati, suspek merupakan seorang penagih dadah dan mengalami masalah mental.

Sehari sebelum itu, seorang bapa mengalami bengkak di telinga kiri akibat ditumbuk anak tiri dalam kejadian di Kampung Ruat, Yan, Kedah kira-kira pukul 8.30 pagi.

Selain itu, mangsa berusia 72 tahun turut mendakwa ditumbuk di kepala dan ditendang di dada serta muka oleh anak tiri berusia 29 tahun itu, dipercayai akibat tidak diberikan wang untuk mendapatkan bekalan dadah.

Ketika kejadian, mangsa bersama isteri berada dalam rumah sebelum didatangi suspek dan mengamuk.

Maklumat diperolehi pihak polis mengesahkan suspek seorang pesakit mental dan merupakan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).