Didakwa sudah bersuami, Dr Qaseh tampil bersuara – “Ya, saya isteri orang”

Didakwa sudah bersuami, Dr Qaseh tampil bersuara – “Ya, saya isteri orang”

“Ya, saya isteri orang, saya akuinya dan apa yang berlaku adalah khilaf saya sebagai manusia biasa. Biarlah letak semua kesalahan itu pada saya.”

Itu reaksi wanita dikenali Dr Qaseh, 37, yang mengulas mengenai dakwaan dia masih berstatus isteri orang ketika menjalin hubungan dengan pemilik salun, Danny, 41, malah mereka turut merancang berkahwin dalam waktu terdekat.

Meskipun boleh mendiamkan diri, Dr Qaseh berkata, dia mahu tampil bersuara kerana enggan isu itu berpanjangan atau diperbesarkan.

Katanya, ia juga susulan kenyataan dibuat Danny dalam sesi siaran langsung di TikTok, semalam yang mengatakan dia menipu dan keluarganya bersubahat.

“Saya memang sudah berkahwin lima tahun lalu dengan adik angkat dan Danny pada mulanya tak tahu hal itu.

“Tapi selepas berlaku insiden seorang lelaki mengaku suami saya, barulah saya ceritakan kepada Danny dan ada bincang dengannya, dia minta saya uruskan dahulu apa yang patut dengan suami, selepas itu kami boleh meneruskan niat untuk bernikah.

“Tapi semalam, dia (Danny) keluarkan kenyataan di live TikTok, saya pula ada menontonnya dan sangat terkejut. Mulanya memang marah dan fikir tindakannya keterlaluan kerana cakap secara terbuka.

“Namun, kalau saya dan dia saling berlawan kenyataan… tak akan habis jadi lebih baik saya mengalah. Mungkin dengan cara itu, isu berkenaan akan berakhir,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya mengapa menjalin hubungan dengan lelaki lain ketika masih berstatus isteri orang, Dr Qaseh mengakui ia tidak sepatutnya berlaku dan satu dosa besar.

Bagaimanapun, Dr Qaseh berkata, perkahwinannya bukan seperti pasangan lain dan dia juga tiada perasaan terhadap suaminya, namun enggan berkongsi kisah peribadi mereka.

“Dia (suami) juga pernah beritahu saya yang dia akan lepaskan (cerai), jika saya ada orang lain, begitu juga sebaliknya dan ditakdirkan, Danny hadir dalam hidup saya.

“Suami tahu tapi itulah, hati manusia ini berbolak balik dan mungkin sebab banyak campur tangan orang luar, perkara jadi macam apa yang tular itu,” katanya.

Mengenai hubungan dengan suaminya, Dr Qaseh berkata, mereka sudah berbincang dengan baik dan kini dalam proses memfailkan perceraian.

“Perceraian itu bukan kerana saya nak teruskan hubungan dengan Danny tetapi demi masa depan masing-masing.

“Urusan dengan Danny pula, saya tak rancang berjumpanya dalam waktu terdekat, tetapi akan mengembalikan cincin nikah pemberiannya melalui kakitangannya,” katanya.

Berkaitan statusnya sebagai doktor yang diragui segelintir pilihak, Dr Qaseh berkata, cukuplah dia ,keluarga dan rakan terdekat yang tahu status pekerjaannya serta enggan isu itu diperbesarkan.

“Tapi selepas isu itu tular, saya terima mesej daripada mereka yang mahu saya diberhentikan kerja, mungkin kerana mereka rasa tidak puas hati dan menganggap hubungan saya dengan Danny hanyalah semata-mata kerana harta dan wang ringgit.

“Saya berlapang dada dengan sikap segelintir netizen dan tiada rasa marah atau dendam. Cuma tipu kalau saya katakan apa yang berlaku tak beri kesan kepada emosi…. sedikit sebanyak memang terguris kerana ia babitkan keluarga.

“Keluarga pun hentam saya awalnya tapi faham selepas saya terangkan perkara sebenar. Apapun, saya percaya Allah uji sebagai tanda Dia ingat dengan saya hamba-Nya,” katanya yang menyerahkan soal jodoh kepada Ilahi dan akan lebih berhati-hati untuk menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki selepas ini.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan kisah Danny yang berkongsi hasratnya untuk berkahwin dengan Dr Qaseh sekali gus mengakhiri zaman dudanya, namun lelaki itu tampil memaklumkan rasa dianiaya apabila Dr Qaseh masih berstatus isteri orang.