Didakwa paru-paru berdarah disebabkan ‘supplement’, Nad Zainal tampil jelaskan keadaan sebenar

Didakwa paru-paru berdarah disebabkan ‘supplement’, Nad Zainal tampil jelaskan keadaan sebenar

 

Selepas sebulan dimasukkan ke hospital selepas menerima rawatan akibat pendarahan dalam paru-paru, akhirnya pelakon Nad Zainal tampil berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan dirinya serta menjelaskan beberapa perkara menerusi Live di akaun TikTok miliknya.

Terima kasih kerana mendoakan

Nad Zainal atau nama Farah Nadia Zainal Abidin, menerusi siaran langsung itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan artis termasuklah Ungku Ismail, Umie Aida, Bella Astillah, Aliff Aziz dan para peminat yang sentiasa berdoa serta membuat solat hajat untuk dirinya.

Saya terfikir apalah kebaikan yang saya pernah buat sampai ramai yang macam ni. Saya memang tak sedar. Ingatkan tak teruk, rupanya teruk. Saya sedar perkara ni bila dah sampai rumah. Ramai yang datang tapi tak sedar. Mama dan papa cakap ramai yang datang.

Pengalaman selama sebulan di hospital amat bermakna buat saya menghargai kehidupan saya dan lebih berhati hati tentang kesihatan saya, menghargai orang sekeliling dan selalu membuat pemeriksaan kesihatan dan menghargai semua makanan.

Dalam pada itu, pelakon berusia 32 tahun ini mengambil keputusan untuk berehat selama dua bulan untuk mempersiapkan diri untuk kembali berlakon.

Perlu rehat yang secukupnya tak boleh bekerja. Saya nak kembali dalam keadaan yang sihat dan berikan yang terbaik kepada orang-orang yang telah mendoakan saya.

Makan saya tak ada pantang. Doktor kata makan je, makan protein banyak dan buat breathing exercise.

‘Saya hargai orang bernama Ungku Ismail’

Menjawab soalan netizen mengenai pelakon Ungku Ismail yang sentiasa memaklumkan perkembangan dirinya, Nad mengatakan bahawa Ungku adalah orang yang sesuai kerana penjelasannya yang begitu tepat.

Sebenarnya waktu tu waktu yang genting. Ibu bapa saya diasak dengan pelbagai soalan. Ada je papa keluarkan statement tapi penjelasan Ungku lebih tepat pada ketika itu Ungku dapat jelaskan dengan lebih details.

Saya rasa tak ada masalah untuk meleraikan kekeliruan so Ungku ke depan untuk selesaikan segala spekulasi.

Apa yang boleh saya cakap, saya sangat-sangat hargai orang yang bernama Ungku Ismail Aziz. Dia banyak membantu dan beri kata semangat kepada saya.

Pelakon drama Takdir Yang Tertulis ini turut menceritakan bagaimana reaksi kedua anaknya, Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, berusia setahun ketika berjumpa dengan Nad.

Of course happy. Papa dan mama datang terlalu awal ke hospital. So saya minta dekat nurse untuk keluar kejap ke kereta papa sebab nak tengok anak-anak saya.

Saya jalan buat pertama kali saya keluar hospital. Saya keluar pergi ke kereta, saya nampak Som dia point dekat saya cakap ‘mummy mummy mummy’. Saya nampak juga Som gigi dia dah penuh dan tumbuh gigi. Masa saya dalam wad dia sakit gusi sebab tumbuh gigi dan bila saya balik dia dah ada gigi banyak.

Nad Zainal sedih dakwaan paru-paru berdarah disebabkan ‘supplement’

Menerusi Live di TikTok, Nad Zainal meluahkan rasa kesal dengan dakwaan yang mengatakan penyakitnya dialaminya itu berpunca daripada makanan tambahan yang dipromosikan olehnya sebelum ini.

Tegasnya, perkara berkenaan adalah tidak benar dan sekali gus membuatkan dirinya berasa bersalah dengan pemilik makanan tambahan terbabit.

Saya sedih apabila timbul isu kata penyakit paru-paru berdarah ni disebabkan makanan tambahan viral yang saya ambil. Itu tidak betul sama sekali. Apa yang berlaku sedikit sebanyak membuatkan saya rasa bersalah dengan pemilik produk tu.

Saya nak jelaskan sakit saya tak ada kena mengena dengan makanan tambahan itu. Selagi saya tak buka mulut jangan memandai.

Bukan itu sahaja, pelakon berusia 32 tahun ini turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan spekulasi yang kononnya dia sakit disebabkan Covid-19 serta menghidap penyakit buah pinggang. Malah,  dia tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang terjadi kepada dirinya itu.

Semua itu tidak benar. Saya hanya mengalami masalah paru-paru berdarah.

Alhamdulillah berkat doa korang saya masih di sini. Tapi yang headline, spekulasi yang kata meninggal tu bagi saya amat-amat lah tak patut.

Syukur rakan rajin buat tabung

Bercerita mengenai kutipan derma, Nad meluahkan rasa bersyukur kerana tidak menyangka rakan-rakannya rajin untuk membuat tabung sumbangan untuk dirinya.

Pasal kutipan derma tu, Alhamdulillah sangat banyak saya tak sangka kawan saya rajin buat tabung tu. Effort dorang MasyaAllah.

Dalam pada itu, Nad memaklumkan bahawa nafasnya masih pendek dan tidak boleh bercakap banyak kerana paru-paru masih belum sembuh sepenuhnya.

Doktor kata jangan terlalu push sangat walaupum saya ni degil. Saya masih dalam proses penyembuhan. Saya masih lagi mengambil ubat-ubatan yang banyak setiap hari saya kena telan 11 biji ubat.