Didakwa halang tugas polis, petani di Perak dibebas dengan ikat jamin – PSM

Didakwa halang tugas polis, petani di Perak dibebas dengan ikat jamin – PSM

 

Polis telah membebaskan seorang petani di Perak yang ditahan malam tadi kerana didakwa menghalang tugas anggota polis, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Tan Tean Chee ditahan hampir tiga jam sebelum polis akhirnya membebaskannya dengan ikat jamin pada 1.30 pagi tadi,” kata Penyelaras Biro Pekerja PSM Sivaranjani Manickam dalam kenyataan.

Peguam mewakili Tan, Bawani KS menyifatkan penahanan itu sebagai “mengarut” dan “salah guna kuasa” oleh polis dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Polis telah membebaskannya namun berkata mereka mungkin memanggilnya hari ini untuk kawad cam,” kata Bawani kepada FMT.

Malam tadi, Ketua PSM Dr Jeyakumar Devaraj membuat laporan polis menuntut supaya Tan, 60, dibebaskan selepas ditahan kerana didakwa menghalang tugas anggota polis.

Tan yang juga ketua Persatuan Petani Moden Chemor, mengetuai beberapa petani lain dalam usaha menghalang penguji tanah daripada masuk ke ladang mereka.

Isu itu berkaitan pertikaian undang-undang yang berterusan antara kira-kira 132 petani di Chemor dan sebuah badan kerajaan negeri Perak susulan pengusiran petani pada Disember lalu bagi memberi laluan kepada pembangunan besar di sana.

Menurut Jeyakumar, minggu lalu, peguam mewakili Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKPN) telah meminta kebenaran untuk masuk ke ladang (untuk menguji tanah), tetapi hakim menolak permohonan itu.

“Bagaimanapun, pagi semalam, penguji tanah yang diiringi polis telah memasuki ladang pada jam 9 pagi.

“Petani itu menghalang mereka kerana isu tanah kini dibawa ke Mahkamah Tinggi dan sedang dibicarakan. Selepas tiga jam, wakil daripada PKNKP meninggalkan tapak itu. Tidak ada sebarang insiden atau kerosakan harta benda berlaku.

“Kemudian, kira-kira jam 9 malam tadi, sekumpulan polis menahan Tan di rumahnya kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam mengikut Kanun Keseksaan,” katanya kepada FMT.