Didakwa ganggu seksual, pengabaian & miliki bahan lucah, bapa Puteri Balqis ditahan

Didakwa ganggu seksual, pengabaian & miliki bahan lucah, bapa Puteri Balqis ditahan

 

Bapa kandung pelakon remaja perempuan ditahan polis semalam susulan laporan polis dibuat anaknya membabitkan kes serangan seksual, pengabaian dan memiliki bahan lucah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki itu ditahan 2.25 petang semalam.

Menurutnya, polis turut merampas telefon bimbit dari suspek dan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

“Saringan ujian air kencing ke atas suspek adalah negatif serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Majistret Mahkamah Shah Alam untuk permohonan reman sebelum reman dibenarkan sehingga 12 September ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis mengesahkan menerima laporan dibuat seorang pelakon remaja perempuan yang mendakwa diganggu secara seksual oleh bapanya menerusi pendedahan dalam program broadcast di YouTube, baru-baru ini.

Terdahulu, pelakon berusia 15 tahun menjadi tetamu jemputan dalam satu program broadcast di YouTube bagi berkongsi mengenai kisah hidupnya, baru-baru ini.

Pelakon terbabit mendedahkan sikap buruk bapanya selain memperlakukan ibunya dengan teruk.

Kelmarin, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersedia memanggil pelakon terbabit jika ada laporan dibuat.