Diburu ceti haram, wanita nekad terjun tasik

Diburu ceti haram, wanita nekad terjun tasik

JIKA telah berhutang dengan ‘along’, memang diaorang akan buru ke mana-mana. Jika tidak tahan dengan ugutan mereka, mungkin ada peminjam yang mengambil tindakan drastik seperti cuba membunuh diri.

Bagi Mohd Al Amin Zakaria, pengalamannya bertugas sebagai kakitangan Unit Banteras Ceti Haram (UBCH) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membolehkan dia melihat sendiri bagaimana keadaan tersebut berlaku.

Ini kerana, pada hari pertama dia bertugas di persatuan itu, Mohd Al Amin telah berdepan detik cemas apabila pengadu kes along nekad terjun ke Tasik Datuk Keramat, Kuala Lumpur semalam selepas dipercayai tertekan akibat diburu ceti haram.

Wanita berusia 29 tahun itu terjun ke tasik ketika sedang dalam proses rundingan di pejabat PPIM yang terletak bersebelahan kawasan rekreasi itu.

Mohd Al Amin berkata, ketika kejadian, dia melihat wanita berkenaan meluru keluar dari pejabat PPIM ke arah jalan raya berhampiran.

“Saya terus mengejarnya sebelum dia berpatah balik ke arah tasik dan terjun. Melihat keadaannya hampir lemas di dalam lumpur, saya nekad terjun dan menariknya ke tebing sebelum dibantu rakan-rakan lain.

“Tak sangka pengalaman pertama di unit along, saya berdepan dengan situasi seperti ini. Saya hanya fikirkan keselamatan pengadu berkenaan pada waktu itu,” katanya seperti yang dilaporkan portal Harian Metro hari ini.

Kejadian itu mengundang situasi cemas dalam kalangan pengadu yang terkejut dengan tindakan wanita itu meluru keluar secara tiba-tiba.

Mohd Al Amin berkata, dia sebelum ini bertugas di bahagian khidmat pelanggan dan baru diberi tanggungjawab sebagai sekretariat UBCH yang dikendalikan panel dilantik, Satria Risk Mitigation Sdn Bhd.

Wanita berkenaan diserahkan kepada suaminya selepas diselamatkan dari tasik berkenaan.

Sementara itu, Konsultan Kanan Satria Risk Mitigation Sdn Bhd, Mirzan Johor berkata, pihaknya bersyukur kes berkenaan dapat dikendalikan dengan pantas kerana ia membabitkan nyawa.

Katanya, sebelum ini pihaknya berdepan beberapa keadaan cemas membabitkan pengadu kes along, namun cubaan bunuh diri seperti itu adalah yang pertama sejak mengendalikan kes berkaitan sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pengadu mengalami tekanan perasaan akibat ditekan along yang meminta bayaran semula pinjaman. – UtusanTV