“Dia sembahyang hajat guna barang, konon nama arwah tertera” – Ibu Zulfarhan harap bomoh bertaubat, datang minta maaf
Syirik! Ibu Zulfarhan harap bomoh bertaubat kerana telah melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kematian anaknya tujuh tahun lalu.
Ibu kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain iaitu Hawa Osman, 61, akui dirinya geram dan terkilan dengan kelakuan bomoh tersebut.
Dia bagaimanapun berharap agar ‘bomoh’ tersebut segera bertaubat dan datang berjumpa dengan mereka sekeluarga.
“Saya harap bomoh itu bertaubat dan kalau boleh dia datang jumpa dengan kami buat permohonan maaf,” ujarnya.
Dalam temu bual bersama Mingguan Wanita, Hawa akui geram dan berharap agar bomoh tersebut diberikan hukuman sewajarnya sebagaimana dirasai arwah anak.
“Kalau boleh saya memang berdoa biar bomoh itu pun diberi hukuman, maknanya badan dia itu juga ada kesan tekapan seterika. Biar dia rasa bagaimana anak saya rasa,” katanya lagi.
Berdasarkan kronologi, Allahyarham telah dituduh mencuri sebuah komputer riba (laptop) apabila namanya disebut oleh seorang bomoh sebelum arwah dibuli dan dipukul sehingga mati.
Allahyarham bukan sahaja dipukul supaya mengaku mencuri komputer riba berkenaan malah turut ditekap menggunakan seterika wap dan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Hawa berkata, umat islam tidak sepatutnya mengharapkan pertolongan bomoh semata-mata, sebaliknya meminta pertolongan kepada Allah SWT.
“Kalau boleh kita minta kepada Allah. Ada juga bomoh yang boleh dipercayai tapi bomoh ini dia kata dia sembahyang hajat menggunakan barang dan konon nama arwah tertera.
“Selama ini kata lah mereka pernah pergi ke bomoh. (Bomoh) ini hanya kata saudara atau orang terdekat sahaja. Tak ada cakap pun nama,” ujar Hawa Osman.
@mingguanwanita “Pada bomoh yang tuduh anak saya tu, bertaubatlah. Datang minta maaf pada kami dan seluruh rakyat Malaysia,” ini luah Puan Hawa ibu kepada arwah Zulfarhan. Ada banyak lagi dikongsikan oleh ibu bapa arwah termasuk reaksi terkejut wajah keenam-enam tertuduh yang sebelum itu dilihat melambai-lambai serta wajah keriangan bila Hakim mengumumkan mereka ke tali gantung. Saksikan temubual penuh bersama kedua ibu bapa arwah di YouTube Mingguan Wanita esok. #mingguanwanita #temansetiapwanita #zulfarhan
Terdahulu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain kira-kira tujuh tahun lalu.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kesemuanya kini berusia 28 tahun.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.