“Dia berdiri siap angkat barang masuk kereta” – Wanita terkejut jumpa lelaki berlakon cacat untuk raih simpati

“Dia berdiri siap angkat barang masuk kereta” – Wanita terkejut jumpa lelaki berlakon cacat untuk raih simpati

 

Masyarakat di Malaysia sememangnya terkenal dengan sifat suka membantu orang yang berada dalam kesusahan.

Budaya tolong-menolong dan semangat kesukarelawanan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka.

Namun, di sebalik kebaikan ini, terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mendapatkan duit secara mudah.

Semalam, seorang pengguna Facebook, Eja Isa, berkongsi video yang menunjukkan seorang lelaki kantoi berlakon cacat.

Semata-mata mahu meraih simpati orang ramai untuk membeli rendangnya yang dijual dengan harga mahal.

Video tersebut telah menarik perhatian ramai dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.

“Minggu lepas, lelaki ini menjual barang sambil menggunakan kerusi roda, konon-kononnya kaki dia cacat dan tidak boleh bergerak di kawasan taman. Saya pun rasa kasihan dan belilah rendang daging dua peket.

“Dia pernah datang juga ke depan rumah sambil menjerit-jerit di tengah panas. Saya pun kasihan, OKU kan? Walaupun dalam hati tak nak beli, tetapi niat nak membantu dia akhirnya belilah juga.

“Harga RM25. Dia menjual makanan itu dari taman ke taman. Kuantiti rendangnya, seketul saiz dua ibu jari untuk sepeket. Dua peket, dapatlah dua ketul kecil. Dah Tipah tertipu, rasa dah kena scam,” katanya.

Bagaimanapun hari ini Eja ternampak lelaki yang sama dan kali ini lelaki itu siap berdiri dan mengangkat masuk barangannya ke dalam kereta. Ini termasuklah mengangkat kerusi rodanya sendiri.

“Depan mata tengok orang cacat yang sama itu berdiri, siap angkat barang masuk kereta. Sebelum itu dia elok je naik kerusi roda. Ini kali kedua saya kena scam,” katanya.

Eja tidak menolak kemungkinan lelaki itu adalah ahli sindiket yang menggunakan modus operandi yang sama di setiap kawasan yang dikunjunginya.

“Konon cacat, raih simpati orang untuk membeli. Berniaga elok-elok la bang. Rendang tu buat lekat-lekat di gigi je RM25.

“Kesian dekat orang yang betul-betul cacat terpalit sama. Nak sales dengan cara macam ni, berkat ke tidak? Tak tahulah, peringatan untuk diri sendiri,” ujarnya.

Sementara itu di ruangan komen, ada netizen yang mendakwa ternampak lelaki yang sama. Dan ketika itu dia sedang menyorong kerusi rodanya yang sudah kehabisan bateri.