“Di Malaysia ada singa” – Kat sekolah tak ajar benda-benda macam ni, Rafizi rasa ‘tertipu’

“Di Malaysia ada singa” – Kat sekolah tak ajar benda-benda macam ni, Rafizi rasa ‘tertipu’

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin mempertahankan industri minyak sawit di Malaysia, termasuk dakwaannya bahawa industri itu tidak mengancam populasi orang utan di Malaysia.

Zuraida berkata, haiwan berkenaan lebih berkemungkinan untuk membunuh manusia berbanding sebaliknya sehingga mendapat perhatian di media sosial.

Ucapan itu dibuat pada 5 Jan lalu namun ia mula tersebar di laman TikTok baru-baru ini.

Video rakaman berkenaan kemudiannya dikongsi oleh bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Dalam ucapannya Zuraida berkata dia melawat Mekah baru-baru ini dan dimaklumkan bahawa buku sekolah di negara-negara Arab memberi penerangan yang tidak menarik terhadap industri minyak sawit.

“Perkara lain yang saya dapati semasa saya berada di Mekah – saya baru pulang dari umrah. Saya bercakap dengan duta kita di sana, jadi dia beritahu saya bahawa di sekolah-sekolah di negara Arab yang pelajarnya pergi, buku-buku menceritakan hal buruk tentang minyak sawit kita kerana kita membunuh orang utan.

“Saya beritahu dia, di Malaysia, kalau awak nampak orang utan, orang utan akan bunuh awak dulu, bukan awak bunuh orang utan dulu. Kan?” katanya.

Zuraida menegaskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mempunyai prosedurnya sendiri dalam mengendalikan haiwan berkenaan.

“Perhilitan ada polisinya. Adakah anda fikir mereka hanya bunuh orang utan? Singa dan harimau pun, bila mereka nampak, mereka tidak bunuh.

“Mereka mempunyai beberapa jenis prosedur untuk memfasakannya dan kemudian membawa mereka ke zoo atau apa sahaja,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia bukan merupakan habitat bagi singa.

Selain itu Zuraida berkata maklumat daripada Perhilitan harus digunakan untuk menghadapi tekanan daripada UK, EU dan AS.

Dia juga mengumumkan bahawa buku mengenai kelapa sawit akan dipromosikan di sekolah-sekolah Malaysia.

“Kita akan melancarkan buku-buku ini di sekolah-sekolah di Malaysia. Ia mengenai kelapa sawit supaya kita menghidupkan semula pengetahuan mengenai kelapa sawit di kalangan anak-anak dan penduduk kita supaya mereka boleh membawa ini untuk masa depan.

“Kita perlu mengingatkan generasi muda kita tentang minyak sawit, komoditi nombor satu kita. Kita perlu mengekalkannya dan kita perlu menjaga dan mempromosikannya,” katanya.

Zuraida menambah bahawa Malaysia juga harus melibatkan kementerian pendidikan di negara lain untuk memastikan mereka “tidak memburukkan minyak sawit kita dalam sukatan pelajaran mereka”.

Ā ‘Selamba cikgu aku dulu tipu kat sekolah’

Mengulas ucapan itu, Rafizi secara berseloroh berkata dia telah dibohongi oleh gurunya semasa di sekolah.

“Banyak benda boleh belajar dari menteri-menteri yang bijak pandai. Satu, di Malaysia, kalau orang utan jumpa manusia, orang utan bunuh manusia dulu dan dua, di Malaysia ada singa.

“Selamba aaah cikgu aku dulu tipu kat sekolah, tak ajar benda-benda ni,” katanya.

Orang utan Borneo dianggap sebagai spesis yang sangat terancam.