DD Chronicle mohon maaf, padam video parodi persenda mahkamah syariah

DD Chronicle mohon maaf, padam video parodi persenda mahkamah syariah

 

Susulan video parodi menerima kecaman ramai, pencipta kandungan DD Chronicle atau nama sebenar, Dediy Sulaeman Ra’e, 44. tampil memohon maaf.

 

Dalam kenyataan permohonan maafnya menerusi Facebook, Dediy berkata, dia mengambil maklum akan kecaman tersebut dan beberapa pihak yang dikatakan mahu membuat laporan polis terhadapnya.

“Ada beberapa rakan beritahu tentang Pemuda Amanah akan membuat laporan polis terhadap saya esok. Saya pun mengkaji semula video itu untuk melihat di mana silapnya. Sebelum post biasa saya akan semak agar tidak menyentuh mana-mana pihak.

“Ada dua benda yang mungkin saya dah letak, tapi tanpa niat pun untuk menghasut sesiapa. Sebenarnya video itu saya nak tunjukkan apa implikasi jika kita tidak memperkasakan atau mempertahankan undang-undang syariah. Itu sahaja sebenarnya.

“Saya tak ulas pun pasal isu yang ada sekarang ini, langsung tak ada. Tapi contoh yang saya bagi itu ialah judi dan arak. Dua benda yang tidak dicabar dalam isu Nik Elin baru-baru ini. Jadi, atas kesedaran yang mungkin video saya jadi rujukan orang awam walauipun ianya sekadar parodi, jadi saya dah delete.

“Saya harap dengan kenyataan ini, semua orang tahu yang video (parodi) itu telah diturunkan demi menghormati undang-undang,” katanya.

Menurut Dediy, dia tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam isu tersebut dan hanya bimbang dengan masalah yang akan timbul pada masa akan datang sekiranya undang-undang agama tidak dipertahankan. Dan hal itu mendorong dia untuk menerbitkan video parodi tersebut.

Namun, contoh kesalahan yang ditonjolkan dalam video parodi itu tidak sesuai dan Dediy memberi jaminan dia akan lebih berhati-hati di masa akan datang.

Menggulas mengenai tindakan Pemuda Amanah yang mahu membuat laporan polis terhadapnya, Dediy berkata masing-masing mengambil berat dengan undang-undang dan agama. Bagaimanapun pendekatan berbeza dan Dediy sekali lagi mengakui dia telah membuat kesilapan.

Dediy tidak menghalang jika Pemuda Amanah mahu terus membuat laporan polis terhadapnya walaupun dia telah membuat permohonan maaf. Tetapi bagi Dediy, biarlah laporan polis itu dibuat atas dasar mempertahankan undang-undang dan agama, bukannya kerana musuh politik.

Pencipta kandungan itu turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menjadikan video parodinya sebagai bahan fakta.

“Korang jangan ikut tau video tu. Minum arak dengan judi masih lagi kena tangkap dan kena hukum. Jangan ikut, itu cuma parodi saja, okey?” ujarnya.