DBKL sita barang jualan penjaja warga asing

DBKL sita barang jualan penjaja warga asing

 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan operasi khas dengan mengambil tindakan menyita barangan penjaja warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin atau Jalan Silang dan Lebuh Pudu pada Ahad.

Tindakan tersebut dilakukan oleh Jabatan Penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha untuk mengekang penjaja warga asing yang tidak mempunyai lesen untuk melakukan aktiviti penjajaan.

DBKL menjelaskan pihaknya mengambil tindakan segera susulan video tular di media sosial pada petang Ahad yang menunjukkan aktiviti penjajaan oleh warga Bangladesh di sekitar Jalan Silang.

“Pasukan pegawai dan anggota penguat kuasa DBKL telah hadir di lokasi berkenaan dan membuat tindakan penguatkuasaan sita, juga pindah halangan serta merta ke atas tujuh penjaja warga asing.

“Mereka menjual sireh, makanan, pakaian terpakai tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook PBT terbabit.

Sebelumnya, pada tengah hari Ahad, pasukan penguat kuasa DBKL telah memantau dan mengambil tindakan terhadap seorang lagi penjaja warganegara sama yang menjual sireh di jalan berkenaan.

Tindakan diambil mengikut kesalahan yang dinyatakan dalam Undang-undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

DBKL menambah, barang-barang yang disita kemudiannya dipindahkan ke stor sitaan DBKL, yang terletak di Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, bagi tujuan dokumentasi dan rekod.