Datuk Zayn Rayyan lantik peguam baharu wakili anak, menantu

Datuk Zayn Rayyan lantik peguam baharu wakili anak, menantu

 

Datuk kepada kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin iaitu Zahari Mohd Reba memberitahu sudah lantik peguam baharu untuk mewakili ibu bapa kanak-kanak tersebut yang kini dalam tahanan reman.

Menurut laporan Harian Metro, Zahari enggan untuk mengulas perkara tersebut dengan lebih lanjut kerana tidak dibenarkan memberi sebarang kenyataan atas nasihat peguam.

Difahamkan, tindakan itu diambil susulan peguam Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co tarik diri mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

“Maaf ya… buat masa ini saya tidak boleh beri apa-apa kenyataan lagi atas nasihat peguam,” katanya yang mengesahkan sudah melantik peguam baru.

Sebelum ini, ibu bapa Zayn Rayyan telah ditahan di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam Jumaat lalu dan direman selama tujuh hari berdasarkan beberapa perkembangan terbaharu siasatan polis.

Difahamkan, pasangan suami isteri yang berusia 28 tahun itu telah ditahan sekitar jam 10.05 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Terdahulu, mayat Zayn Rayyan ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu telah dibunuh selepas mendapati terdapat  kesan kecederaan pada leher dan badannya.