Datuk M Daud Kilau jalani rawatan injap jantung sempit

Datuk M Daud Kilau jalani rawatan injap jantung sempit

Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 82, akan menjalani rawatan sten di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Anaknya, Ahmad Zaini, 49, berkata, bapanya mempunyai masalah injap jantung sempit dan dimasukkan ke IJN, Isnin lalu.

Menurutnya, bapanya belum menjalani sebarang pembedahan jantung dan masih berada dalam pemantuan pihak IJN.

“Ada injap jantungnya sempit dan dijangka bapa akan menjalani rawatan untuk masalah itu pada petang ini atau Isnin depan.

“Bapa ditemani ibu (Datin Rohani Awang Ngah, 63) dan keadaanya baik, cuma agak lemah dan dia juga kurang selera makan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, penyanyi veteran itu dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) di Teluk Intan selepas mengadu sesak nafas.

Penyanyi lagu hit Sirih Pinang, M Daud Kilau atau Muhammad Daud Kilau itu berdepan masalah kesihatan sejak empat tahun lalu.

Beliau yang mempunyai kencing manis kini sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang juga sakit selain keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang daya pendengaran.

Sumber: Harian Metro