Datuk Bandar dedah sebab kenapa Stadium Shah Alam belum dirobohkan
Proses merobohkan Stadium Shah Alam masih belum dapat dilakukan sekaligus menghalang pembinaan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu.
Menurut laporan Sinar Harian, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata syarikat pemaju belum menyerahkan pelan pembangunan penuh projek di tapak stadium itu secara rasmi kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Ramai yang tanya kenapa tak roboh? Sebenarnya ada syarat dalam kelulusan itu antara lain pemaju perlu menghantar pelan pembangunan penuh projek di tapak tersebut secara rasmi kepada MBSA sebelum kerja-kerja meroboh boleh dilakukan.
“Walaupun konsep pembangunan sudah ada dan perbincangan mengenainya telah dilakukan antara pemaju dan MBSA, namun pihak berkenaan belum menghantar pelan pembangunan tersebut kepada MBSA,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, Ts Saipolyazan M Yusop menegaskan kerja perobohan stadium itu dijangka bermula Mei atau Jun ini.
“Kerja perobohan stadium dijangka mengambil masa setahun. Kita juga akan melihat kaedah tertentu untuk mempercepatkan kerja perobohan stadium itu,” katanya.
Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) mengesahkan telah dilantik oleh Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) untuk melaksanakan kerja perobohan Stadium Shah Alam dengan anggaran awal nilai kontrak sebanyak RM35 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MRCB berkata, syarikat milik penuhnya, Lembaran Prospek pada 6 Februari 2024 telah menandatangani kontrak perobohan dengan MBI untuk tugas itu.