Datuk Azizulhasni Awang menang emas acara keirin Piala Negara-Negara UCI di Australia

Datuk Azizulhasni Awang menang emas acara keirin Piala Negara-Negara UCI di Australia

Semuanya seakan seperti normal dan tidak ada apa-apa yang berlaku buat jaguh pecut berbasikal trek negara, Datuk Azizulhani Awang walaupun perlu mengambil ubat perikarditis apabila bersahaja meraih emas dalam acara keirin di Piala Negara-Negara Berbasikal Trek UCI di Adelaide sebentar tadi.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mengerah segala kudrat yang ada pada pusingan terakhir The Adelaide Super-Drome untuk melintasi garisan penamat terlebih dahulu walaupun pada permulaan pecutan ia dikuasai oleh Jack Carlin (Great Britain) dan Matthew Richardson (Australia).

Lebih menarik dua pelumba Jepun yang hanya menunggu peluang sehingga ke pusingan terakhir berjaya mengakhiri perlumbaan di belakang Azizulhasni dengan Shinji Nakano meraih perak, manakala Kaiya Ota yang mewakili Rakute K Dreams menggondol gangsa.

Azizulhasni yang juga juara dunia 2017, bermula dengan cemerlang sejak pusingan pertama apabila dia muncul juara saringan keempat mengetepikan Matthew Glaetzer (Australia), Matej Bohuslavek (Republik Czech), Yuta Obara (Jepun) dan Andrey Chugay (Kazakhstan)

Dalam aksi pusingan kedua (separuh akhir) dia juga tidak berdepan masalah untuk menempatkan diri dalam kalangan tiga pelumba terbaik bersama Richardson dan Xue Chenxi (China) untuk menempah slot ke final.

Kejayaan Azizulhasni yang juga terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu mengukuhkan lagi kedudukan untuk mengumpul mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

AZIZULHASNI (tengah) meraikan kejayaannya di pentas podium. FOTO JOHN BEASLEY
AZIZULHASNI (tengah) meraikan kejayaannya di pentas podium. FOTO JOHN BEASLEY

Sebelum ini Pengarah teknikal sukan berbasikal negara, John Beasley mendedahkan Azizulhasni kini perlu mengambil ubat perikarditis yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Perikarditis adalah keradangan perikardium yang boleh menyebabkan cecair berkumpul di dalam karung perikardium.

Cecair yang berlebihan itu boleh mengakibatkan tamponad kardium dengan menghalang jantung daripada berdegup dengan betul atau menekan pembuluh jantung secara fizikal.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Fadhil Zonis yang mewakili Team Azizul terkandas di repechage saringan pertama selepas gagal menamatkan perlumbaan akibat terbabit dalam kemalangan.

Turut beraksi hari ini ialah pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri dalam acara pecut namun dia terkandas di pusingan pertama selepas kalah kepada pelumba Kanada, Lauriane Genest.