Datuk antara tiga ditahan cuba seludup syabu bernilai RM14.4 juta

Datuk antara tiga ditahan cuba seludup syabu bernilai RM14.4 juta

 

LELAKI bergelar Datuk antara tiga ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana disyaki cuba menyeludup keluar dadah jenis syabu dianggar bernilai RM14.4 juta menerusi Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Dalam serbuan oleh Cawangan Narkotik JKDM Ibu Pejabat kira-kira jam 4 pagi pada 31 Ogos lalu, sindiket dadah berkenaan dikesan membungkus dadah seberat 400 kilogram (kg) dalam bungkusan teh dan diikrar sebagai troli barang.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, berkata dadah berkenaan disimpan dalam dua kotak kayu besar untuk dieksport ke luar negara.

“Bertindak atas maklumat, kami menyita dua kotak kayu sebelum pemeriksaan menemui lapan kotak mengandungi 400 bungkusan teh berisi bahan kristal jernih dipercayai methaphetamine seberat 400 kg, dianggar bernilai RM14.4 juta,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari.

Menurutnya, susulan rampasan itu, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 56 tahun termasuk seorang lelaki bergelar Datuk di lokasi dan waktu sama untuk membantu siasatan.

“Kami sedang mengenalpasti fungsi ketiga-ketiga lelaki ini termasuk peranan seorang datuk berusia 48 tahun berkenaan.

“Hasil siasatan juga, kami mendapati sindiket ini sudah melakukan 11 penghantaran dadah ke luar negara sejak tahun lalu,” katanya.

Abdul Latif berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai troli barang di dalam dua kotak kayu besar.

“Bagaimanapun ia sebenarnya mengandungi kotak yang berisi dadah yang disorok bersama pakaian. Modus operandi menggunakan bungkusan teh sudah sering digunakan, namun masih menjadi pilihan sindiket.

“Perintah reman terhadap suspek selama 14 hari bermula 31 Ogos. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: Malaysiapost