“Mengalir air mata ku..” – Datin Patimah sebak lihat Syamsul harungi takdir hidup sendirian
Ibu kepada pengarah kontroversi, Syamsul Yusof iaitu Datin Patimah Ismail sedih melihat anaknya mengharungi proses perceraian secara bersendirian.
Patimah menerusi hantaran dimuat naik dalam Instagram Story (IGs) berkata, air matanya mengalir melihat takdir hidup anak kedua daripada empat beradik itu.
“Sejujurnya, mengalir air mataku melihat anakku mengharungi takdir hidupnya seorang diri.
“Namun, doaku sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu agar dipermudahkan segala urusan,” tulisnya dengan berlatar belakang gambar wajahnya sendiri.
Syamsul dan bekas isterinya, Ira Kazar sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor.
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik dilafazkan Syamsul terhadap Ira ketika masih bergelar suami isteri.
Peguam syarie mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais memberitahu Ira melanggar taklik sebanyak lima kali sejak 14 Ogos lalu.
Pada 16 Ogos lalu, Syamsul mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.
Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.