Dari Tanjong Malim, Perak ke Washington DC

Dari Tanjong Malim, Perak ke Washington DC

 

Nagavalli Annamalai yang diterima sebagai peguam oleh Majlis Peguam Jumaat lalu pada usia 60 tahun, menempuh onak dan liku kehidupan sukar daripada anak perempuan kepada penoreh getah yang menjadi yatim ketika usia 14 tahun sebelum akhirnya bertugas sebagai ketua perunding Bank Dunia di Washington DC.

Dilahirkan dalam keluarga miskin dengan 10 adik-beradik di Tanjong Malim, Perak, beliau kehilangan bapa ketika berusia 14 tahun, tetapi atas didikan supaya tidak mudah berputus asa, menyaksikan beliau mengorak langkah menggapai pelbagai kejayaan hidup, baik ketika belajar sehingga semasa berkerjaya.

Nagavalli mendapat biasiswa Bank Negara untuk belajar undang-undang di Universiti Malaya (UM) pada 1981 dan memulakan kerjaya dalam bidang perundangan di bank pusat berkenaan.

Kemudian, beliau melanjutkan pengajian di Sekolah Undang-Undang Harvard di Amerika pada 1992 dan meneruskan kerjaya di bahagian undang-undang di Bank Dunia.

Beliau berkhidmat di pelbagai jabatan selama 22 tahun di Bank Dunia menyaksikannya menggalas tanggungjawab untuk pergi ke lebih 60 negara atas urusan rasmi sebelum berhenti pada 2020 sebagai Ketua Unit Perundangan Sektor Kewangan.

Undang-undang sudah menjadi darah daging Nagavalli.

“Saya harap kisah hidup saya ini dapat memberi motivasi dan inspirasi kepada anak-anak serta saudara mara.

“Memang sedih mengenangkan bapa saya meninggal dunia ketika saya berumur 14 tahun dan saya tidak banyak dapat membalas jasanya, tetapi saya masih tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat menjaga ibu,” kata peguam itu.

Dan untuk masyarakat pula, Nagavalli percaya beliau kini mempunyai kaedah terbaik untuk menabur bakti menerusi khidmat guaman pro bono (percuma) terutama bidang berkaitan pelarian, pendatang haram serta khidmat lain untuk komuniti terpinggir.

“Saya juga amat gemar terus membantu menjadi mentor, mengajar dan berkongsi pengetahuan kepada pengawal selia perundangan serta pengguna dalam aspek sektor kewangan,” katanya kepada Bernama selepas acara penerimaan sebagai peguam di Malaysia.

Nagavalli bersara awal daripada Bank Dunia untuk menjaga ibunya yang uzur di kediaman mereka di Petaling Jaya, Selangor.