Dapat bendera free baru nak kibar ke?

IPOH: Rakyat di negara ini dinasihatkan untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia dan bukan bergantung kepada Jalur Gemilang yang diberikan secara percuma semata-mata.

Menurut Exco Pembangunan Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed, masyarakat sewajarnya mengibarkan Jalur Gemilang secara sukarela dalam menyatakan rasa bangga dan cintakan negara.

“Mungkin ada segelintir daripada kita yang hanya harapkan Jalur Gemilang percuma, baru dia nak kibarkan. Kalau boleh ubah mentaliti sebegitu kerana kita mahu sama-sama semarakkan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Paling penting kita beri penekanan supaya jika tidak dapat Jalur Gemilang secara percuma, kita kena beli sendiri secara sukarela.

“Ini merupakan perkara asas yang perlu mereka lakukan selaku rakyat Malaysia, kalau diberikan secara percuma (Jalur Gemilang) tidak mengapa untuk ambil tapi sekiranya tiada… itu bukan sebab untuk tidak mengibarkannya,” katanya.

Khairul berkata demikian kepada pemberita pada program Jalinan Kasih Semarak Merdeka Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional Negeri Perak di sini pada Rabu.

Yang turut hadir, Pengurus Tekun negeri Perak, Mohd Anuar Salleh dan peserta konvoi motosikal.

Sementara itu, ketika mengulas lanjut mengenai penglibatan belia dalam sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di negeri ini, Khairul berkata dia melihat gambaran positif dari apsek itu.

Katanya, penglibatan belia mencakupi pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini, meskipun terdapat kekangan dari segi sambutan kerana Covid-19.

“Alhamdulillah,dalam pemerhatian saya nampak sambutan kali ini disambut cukup baik khususnya oleh golongan muda. Ramai program yang kita anjur memang disertai orang muda,” katanya.

Mohd Anuar berkata, seramai 16 peserta terlibat dalam jelajah tersebut yang bertujuan untuk menyampaikan sumbangan bantuan kepada staf Tekun yang kurang bernasib baik.

“Atas keprihatinan Tekun menerusi kelab kebajikan,kami akan ziarah dan beri sumbangan kepada waris staf kami bagi meringankan beban mereka.

“Konvoi ini akan bergerak ke Tapah, di mana ibu kepada staf kami mengalami masalah buah pinggang, peserta konvoi ini terdiri daripada seorang staf bagi setiap Parlimen,” ujarnya.

Sumber: Suara Perak