Dana RM600 bilion: SPRM panggil Muhyiddin, Tengku Zafrul & KJ bantu siasatan

Dana RM600 bilion: SPRM panggil Muhyiddin, Tengku Zafrul & KJ bantu siasatan

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

Laporan portal berita The Vibes yang memetik sumber berkata siasatan SPRM itu susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.

Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

Menurut Vibes, laporan mengenai siasatan membabitkan tiga individu berkenaan mula didedahkan oleh blog Datuk Ahirudin Attan atau dikenali sebagai RockyBru.

Menurut blog itu, Tengku Zafrul dipanggil SPRM berikutan beliau adalah Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional bagi menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020.

“Ada pihak memberitahu saya bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin yang menjadikan Tengku Zafrul seorang Senator dan Menteri Kewangan pada 2020, juga akan dipanggil oleh badan antirasuah itu.

“Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga akan diminta membantu siasatan. Beliau memegang jawatan itu sejak Ogos 2021 dan di bawah Muhyiddin, beliau memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,” kata Rocky Bru.

Sementara itu, BH menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk mengesahkan perkara itu, namun tiada maklum balas setakat ini.

Media semalam melaporkan, Azam mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin dilapor menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Pengerusi PN itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan, tidak mungkin beliau menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau yang juga Presiden BERSATU juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan yang semuanya berjumlah RM530 bilion.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, pula dilapor berkata dakwaan penyelewengan dana bernilai RM600 bilion sebenarnya tidak wujud dan sekadar perang saraf lapuk untuk memburukkan pentadbiran Muhyiddin.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menyokong penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Beliau juga berpendapat laporan polis yang dibuat sebelum ini yang mahu pihak berkuasa menyiasat isu perbelanjaan RM600 bilion itu perlu diteruskan berikutan ia membabitkan satu jumlah yang besar.

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Ammar Atan pula menyifatkan RCI itu teramat penting supaya jawapan jelas dan tuntas dapat diberikan kepada rakyat, terutama apabila seluruh sistem demokrasi negara, Parlimen ditutup dan kebanyakan perbelanjaan dibuat secara runding terus tanpa semak imbang sewajarnya.

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan lebih awal mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat perkara sama, malah satu laporan polis berkaitan isu berkenaan turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 30 November lalu.

Kontroversi penggunaan dana kecemasan lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Pengerusi AMANAH Melaka dan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Adly dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) akan menyiasat Muhyiddin jika gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasat kerana semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter sebelum ini turut menjelaskan, perbelanjaan langsung kerajaan ketika itu hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan berkenaan diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

Naib Presiden UMNO itu juga menolak dakwaan pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022, sebaliknya menegaskan nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion, sebahagian besar tidak babit perbelanjaan kerajaan seperti moratorium pinjaman oleh bank.