Dalang, sindiket edar dadah terkubur

Dalang, sindiket edar dadah terkubur

Polis berjaya membongkar satu lagi sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah yang dipercayai aktif sejak September lalu selepas menahan lapan lelaki termasuk dalang utama dalam 10 serbuan berasingan di negeri ini dan Perak selama dua hari bermula Ahad lalu.

Kesemua suspek lelaki tempatan berusia 20 hingga 49 tahun itu diberkas dalam operasi khas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang dan Perak bermula pukul 5 petang.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, tangkapan dijalankan selepas penahanan dua lelaki di lokasi pertama di kawasan kondominium di Batu Uban di sini.

Menurutnya, susulan tangkapan lelaki berusia 33 dan 40 itu membawa kepada pembongkaran sebuah makmal mini memproses dadah jenis heroin di dalam kediaman yang dipercayai disewa suspek terbabit.

“Hasil soal siasat ke atas salah seorang suspek itu membawa kepada tangkapan lapan lagi ahli sindiket termasuk dalang berusia 38 tahun di lokasi berasingan di tepi jalan Simpang Ampat, Air Itam, Bukit Gantang serta di sebuah rumah teres di Ipoh, Perak.

“Dalam serbuan tersebut, kita turut menemukan sejumlah dadah iaitu heroin seberat 10.17 kilogram (kg), 620 biji pil esktasi, syabu (143 gram) dan 20 biji pil Eramin 5 dengan nilai keseluruhan RM177,210,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini semalam.

Turut disita adalah tujuh buah kenderaan, wang tunai dan barangan kemas bernilai RM409,330 dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM586,540.

Sahabudin memberitahu, hasil siasatan awal pihaknya percaya dadah yang diproses itu untuk dipasarkan kepada pelanggan di negeri Utara termasuk Kedah dan Perak.

“Hasil ujian air kencing mendapati hanya dua suspek lelaki positif dadah jenis Opiat manakala seorang daripada mereka tiada sebarang rekod jenayah lampau.

“Bekalan dadah yang dipercayai diperoleh daripada rangkaian sindiket antarabangsa itu juga akan diproses di negeri ini sebelum diedar kepada ahli sindiket tempatan,” ujarnya yang menambah, rampasan dadah itu boleh dibekalkan kepada 44,255 penagih.

Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 bermula Isnin lalu.

Sumber: Utusan Online