Dalam sakit-sakit Mat Sabu ke Itali pula, tak berhenti bekerja

Dalam sakit-sakit Mat Sabu ke Itali pula, tak berhenti bekerja

 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, akan mengetuai delegasi bagi lawatan kerja selama 6 hari ke Rom, Itali dan Budapest, Hungary bermula hari ini sehingga 8 Julai.

Berdasarkan aturcara di Rom, menteri akan menghadiri Sidang Pleno Persidangan Food and Agriculture Organization (FAO) Ke-43 yang merupakan platform bagi setiap ketua delegasi menyampaikan kenyataan negara (country statement) di bawah agenda Review of the State of Food and Agriculture.

KPKM dalam satu kenyataan berkata, Mohamad akan mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala ke atas rakan sejawat, Francesco Lollobrigida iaitu Menteri Pertanian, Kedaulatan Makanan dan Perhutanan, Itali.

Mesyuarat tersebut bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian termasuk kerjasama ekonomi, pelaburan dan teknikal.

“Pertemuan ini juga akan digunakan sebagai peluang untuk meneroka akses pasaran baharu bagi produk pertanian negara dalam usaha meningkatkan keseimbangan perdagangan hasil pertanian antara kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pertemuan bersama TYT Dr. Qu Dongyu, Ketua Pengarah FAO juga akan diadakan bagi berbincang mengenai bidang pertanian dan keterjaminan makanan serta nutrisi global di samping mengukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan FAO dalam pelbagai sektor berkaitan pertanian.

Lawatan kerja tersebut akan diteruskan ke Budapest, Hungary pada 6 Julai bagi mesyuarat dua hala dengan Menteri Pertanian Hungary István Nagy, dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian kedua-dua negara.

Pemeteraian MoU ini akan mengukuhkan kerjasama dalam bidang pertanian, meningkatkan kemahiran teknikal dan kepakaran pegawai, memudah

cara akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Hungary serta membolehkan kedua-dua negara merangka program-program kerjasama baharu yang bersesuaian.

Mohamad turut dijemput untuk menyampaikan ucaptama di Majlis Penganugerahan Program Doktor Falsafah di Hungarian University of Agriculture and Life Sciences (MATE).