Dakwaan Islam terancam terbukti fitnah apabila Anwar jadi PM

Dakwaan Islam terancam terbukti fitnah apabila Anwar jadi PM

 

Tohmahan Perikatan Nasional (PN) dengan pelbagai gambaran buruk terhadap Pakatan Harapan (PH) jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri terbukti palsu selepas lapan bulan pentadbiran kerajaan diterajui tokoh berkenaan.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dakwaan PN kononnya Islam terancam tidak berlaku pun sejak Pengerusi PH itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lalu.

“Isu 3R (agama, kaum, institusi diraja) memainkan peranan dalam PRU lepas di mana ancaman terhadap Melayu dan Islam diutarakan.

“Lebih hebat dituduh Anwar seorang yang menganut fahaman liberal. Kalau dia jadi PM, Islam akan terancam.

“Selepas lapan bulan Anwar menjadi Perdana Menteri, rakyat khasnya orang Islam melihat tidak ada pun diizinkan perkahwinan sejenis.

“Apa terancamnya orang Islam? Peruntukan kepada agama Islam bukannya dikurangkan sebaliknya dipertingkatkan,” tegasnya.

Mohamad berkata demikian dalam forum Media Perpaduan bertajuk, “Melakar Kanvas Kemenangan”.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, tindak tanduk Kerajaan Perpaduan itu sendiri telah menangkis tuduhan yang dibuat oleh PN pada lapan bulan lalu.

Sehubungan itu, beliau yakin sebahagian besar pengundi yang beralih pada PRU15 lalu akan kembali menyokong Kerajaan Perpaduan pada PRN kali ini selepas PN gagal membuktikan ancaman yang dilakukan PH.