Dakwa suspek kes beli ‘nasi ganja’ guna helikopter, ramai juruterbang berpengalaman terkejut

Dakwa suspek kes beli ‘nasi ganja’ guna helikopter, ramai juruterbang berpengalaman terkejut

 

Keputusan pendakwa raya untuk mendakwa seorang juruterbang helikopter kerana tidak mengikut pelan penerbangannya berhubung kes “nasi ganja” telah mengejutkan ramai juruterbang berpengalaman.

Bercakap kepada FMT, mereka berkata ia perkara biasa bagi juruterbang helikopter melakukan pendaratan seketika di kawasan terbuka sepanjang laluan penerbangan mereka, selagi mendapat pelepasan daripada kawalan trafik udara (ATC).

Minggu lalu, polis berkata mereka telah diarahkan untuk mendakwa juruterbang dalam kes “nasi ganja” di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam pada 9 Mei kerana gagal mengikut pelan penerbangan yang dikemukakan Julai lalu.

Helikopter Bell 505 mendarat di Padang Ipoh pada 9 Julai untuk mengambil 36 paket “nasi ganja” yang ditempah oleh pelanggan di Kuala Lumpur pada hari sebelumnya.

Polis berkata mereka menyiasat insiden itu di bawah peraturan bagi kawalan penyakit berjangkit, yang melarang perjalanan merentasi sempadan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata juruterbang helikopter itu telah diberikan permit polis di Selangor untuk melakukan perjalanan ke Ipoh dalam “pusingan penyelenggaraan”.

Seorang juruterbang kanan yang menerbangkan helikopter selama lebih 35 tahun termasuk 20 tahun bersama tentera udara berkata, dia telah melakukan banyak pendaratan di padang dan kawasan terbuka lain ketika melakukan penerbangan rutin atau penyelenggaraan.

Katanya, penerbangan penyelenggaraan adalah keperluan berkala apabila helikopter tersadai untuk tempoh yang lama. “Malah ia juga dilakukan pada pesawat untuk memeriksa fungsi semua sistem,” katanya.

Seorang lagi juruterbang menjelaskan bahawa dakwaan terhadap kes “nasi ganja” itu menjadi contoh buruk kerana ia akan menyekat fleksibiliti penerbangan helikopter.

“Selagi juruterbang memaklumkan ATC dan mendapat pelepasan, mereka tidak perlu memberi alasan untuk mendarat. Jadi kami terkejut bahawa Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk mendakwa juruterbang helikopter Bell 505 yang terlibat dalam insiden itu terutamanya apabila dia mendapat pelepasan ATC.”

Manakala juruterbang yang juga bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, pihak berkuasa mungkin bertindak di bawah tekanan disebabkan terdapat banyak kecaman di media mengenai kejadian itu.

“Adalah jelas bahawa penerbangan itu mempunyai kebenaran rasmi untuk terbang merentasi sempadan negeri. Jadi mereka mungkin telah melakukan tindakan ini untuk menggembirakan orang ramai. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sepatutnya lebih mengetahui, kerana juruterbang tidak melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang,” katanya.