Dakwa Sultan Selangor terlibat projek hutan Kuala Langat, MB Selangor perlu ambil tindakan

Dakwa Sultan Selangor terlibat projek hutan Kuala Langat, MB Selangor perlu ambil tindakan

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu bertanggungjawab dan mengambil tindakan ke atas sebuah portal yang mendakwa Sultan Selangor memiliki syarikat pemaju untuk membangunkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh Amirudin terhadap portal berita itu walaupun Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah menafikan dakwaan tersebut.

“Sepatutnya MB Selangor mengeluarkan kenyataan dan tindakan ke atas portal tersebut. Hal ini menjadi persoalan mengapa masih belum ada apa-apa kenyataan dikeluarkan olehnya,” kata Mohd Dendera dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri harus mengambil kira kepentingan rakyat negeri Selangor dan memberikan kesan baik kepada alam semulajadi.

“MB Selangor perlu bertanggungjawab di atas perkara ini selari dengan sumpah diucapkan oleh beliau di hadapan Sultan Selangor semasa menerima pelantikan jawatan itu.

“Jika MB Selangor terus berdiam diri, beliau perlu meletakkan jawatan segera kerana ternyata beliau tidak layak untuk memimpin Selangor,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana pemaju yang terbabit dalam projek pembangunan di HSKLU.

Sumber: Sinar Harian