Dakwa nyanyian sumbang & tidak kacak, penyanyi lelaki ditahan

Dakwa nyanyian sumbang & tidak kacak, penyanyi lelaki ditahan

 

Seorang bintang penyanyi media sosial di Bangladesh telah dipanggil oleh pihak polis dan diminta untuk membuat permohonan maaf atas nyanyiannya yang sumbang, lapor Hindustan Times.

Penyanyi Bangladesh yang dianggap mempunyai suara sumbang itu mempunyai ramai pengikut di laman sosial medianya.

Dia telah ditahan oleh pihak polis di sana pada waktu subuh dan diminta untuk menghentikan nyanyian lagu klasiknya yang menyakitkan telinga, mencetuskan kekecohan di media sosial.

Difahamkan, lelaki itu sangat popular di media sosial sehingga dapat mengumpulkan hampir 2 juta pengikutnya di Facebook dan 1.5 juta di YouTube dengan gayanya yang unik dan tersendiri.

Salah satu lagu popularnya adalah lagu Arab di mana dia muncul dengan berpakaian tradisional Arab di atas bukit pasir bersama unta di latar belakang klip video nyanyiannya hingga mendapat sehingga 17 juta tontonan.

Namun, dia juga telah mengkritik lagu klasik dua khazanah negaranya yang dikasihi iaitu pemenang Nobel Rabindranath Tagore dan penyair kebangsaan Bangladesh Kazi Nazrul Islam.

Akibat dari perbuatan itu, dia memberitahu AFP bahawa dirinya ‘diseksa secara mental’ minggu lalu oleh polis yang menyuruhnya untuk berhenti menyanyikan lagu-lagu klasik.

Dia mendakwa, pihak polis menyatakan dirinya terlalu hodoh untuk menjadi penyanyi dan diminta untuk menandatangani surat “permohonan maaf”.

“Polis mengambil saya pada pukul 6 pagi dan menahan saya di sana selama lapan jam. Mereka bertanya mengapa saya menyanyikan lagu Rabindra dan Nazrul,” katanya.

Ketua detektif Dhaka Harun ur Rashid memberitahu, lelaki itu telah membuat permohonan maaf kerana menyanyikan lagu-lagu yang dihargai dan memakai pakaian seragam polis tanpa kebenaran dalam klip videonya.

Farook Hossain, iaitu timbalan pesuruhjaya polis Dhaka pula menolak dakwaan lelaki tersebut di mana dia mendakwa dirinya telah didesak oleh pihak berkuasa untuk menukar namanya.

“Dia membuat komen ini hanya untuk menjadi viral di media sosial,” katanya.

Ekoran pengalaman pahit itu, lelaki tersebut mengeluarkan video baharu yang menggambarkan dirinya di balik jeriji besi dalam pakaian penjara, berteriak sedih bahawa dia akan dihukum gantung.

Layanan pihak berkuasa terhadap lelaki itu mencetuskan kemarahan di media sosial di mana pengulas dan aktivis menyifatkan ia sebagai serangan terhadap hak individu walaupun nyanyiannya agak memuaskan.