Dakwa minta bantuan gugur tuduhan rasuah, Zahid saman Tun M

Dakwa minta bantuan gugur tuduhan rasuah, Zahid saman Tun M

 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memfailkan satu lagi saman fitnah – kali ini terhadap Dr Mahathir Mohamad kerana mendakwa beliau meminta bantuan bekas perdana menteri itu untuk menggugurkan tuduhan rasuah terhadapnya.

Zahid mempertikaikan dakwaan bahawa beliau pergi ke rumah Mahathir bersama dua atau tiga individu lain sejurus selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mahathir, yang juga pengerusi Pejuang, membuat kenyataan itu pada majlis parti di Yayasan Perdana, Putrajaya pada 23 Feb, dengan rakaman videonya disiarkan di beberapa portal berita.

Zahid mendakwa kata-kata Mahathir itu adalah tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mendakwa kata-kata tersebut bermakna beliau menggunakan jalan pintas bagi menyelesaikan kes jenayahnya untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, kata-kata menerusi sindiran itu bermakna beliau mempunyai imej yang buruk dan tidak menghormati pihak berkuasa atau sistem keadilan.

Selanjutnya katanya, ia membawa maksud bahawa sebagai ahli Parlimen dan pemimpin Umno paling kanan, beliau tidak boleh dipercayai dalam tindakan mahupun keputusannya.

Selain itu, ia juga bermaksud beliau mahu menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi perdana menteri ketika itu agar campur tangan dalam siasatan, katanya.

Zahid berkata, beliau tidak pernah berjumpa Mahathir untuk meminta bantuan menyelesaikan kesnya.

Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini minggu lepas melalui firma Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq, Zahid memohon injunksi untuk menghalang Mahathir daripada mengulangi dakwaannya selain menuntut ganti rugi teruk, am dan teladan.

Bulan lepas, beliau memfailkan saman serupa terhadap seorang lagi bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, yang dikatakan membuat dakwaan serupa semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan wang bernilai berjuta-juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

Beliau turut berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung sistem Visa Luar Negara.

Zahid didakwa atas tujuh tuduhan lagi kerana memperoleh wang tunai SGD1.15 juta, RM3 juta, €15,000 dan USD15,000 sebagai menteri dalam negeri daripada syarikat yang sama berhubung kerja rasminya.

Semua perbicaraan membabitkan Zahid sedang berjalan.