Dakwa kenyataan Muhyiddin babit campur tangan cabang kehakiman, Pemuda Umno buat laporan polis

Dakwa kenyataan Muhyiddin babit campur tangan cabang kehakiman, Pemuda Umno buat laporan polis

Pemuda Umno Bahagian seluruh negara membuat laporan polis semalam, terhadap dakwaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang kononnya terdapat desakan beliau diminta campur tangan dalam kes mahkamah.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata laporan itu dibuat susulan dakwaan terbabit dianggap amat serius kerana membabitkan campur tangan cabang eksekutif dan kehakiman yang bertanggungjawab terhadap sistem keadilan negara.

Katanya, perdana menteri seolah-olah mewujudkan persepsi bahawa sistem kehakiman negara boleh dijual beli, sekali gus merosakkan imej serta integriti mahkamah sebagai institusi yang mendaulatkan keadilan.

“Dalam ucapannya, Mahiaddin (Muhyiddin) telah menyatakan dan petikan kenyataan yang berkenaan adalah seperti berikut, …’ini termasuklah desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah’.

“Pemuda Umno percaya dakwaan dibuat perdana menteri ini adalah amat serius kerana membabitkan campur tangan cabang eksekutif dan kehakiman yang bertanggungjawab terhadap sistem keadilan negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Muhyiddin mendakwa dikenakan tekanan oleh “pihak tertentu” untuk mencampuri kes mahkamah dan membebaskan beberapa individu daripada tuduhan jenayah.

Dalam siaran langsung itu beliau berkata, individu terlibat tidak senang dengan ketegasannya enggan melayan permintaan “kluster mahkamah”, yang dipercayai merujuk kepada beberapa pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Selain itu, Asyraf berkata, persepsi yang tidak baik cuba ditimbulkan perdana menteri terhadap kepimpinan Umno khususnya presiden dan bekas presidennya adalah kerana ingin mengalih perhatian rakyat daripada terus melihat kegagalan kerajaan menangani pandemik.

“Kita memahami laras bahasa perdana menteri yang cuba membentuk persepsi tidak baik terhadap kepimpinan Umno, khususnya presiden dan bekas presiden.

“Sedangkan, kedua-duanya telah memaklumkan berkali-kali mahu berjuang di mahkamah bagi membersihkan nama mereka atas segala pertuduhan dan tidak akan sesekali mengheret parti,” katanya.

Katanya, beliau kesal dengan tindakan Muhyiddin yang sanggup bertindak demikian untuk terus kekal berkuasa memerintah negara.

“Pemuda Umno mendesak polis menyiasat segera dakwaan ini yang boleh dianggap satu fitnah berniat jahat untuk menghina dan mempersendakan seteru politiknya,” katanya.

Sumber: FMT