‘Dakwa, hukum penjara’ – Kesalahan berulang Neelofa, PU Riz tidak lagi relevan dengan kompaun sebagai denda
TINDAKAN pasangan sensasi, Neelofa dan PU Riz yang didakwa sekali lagi merentas negeri ke pusat komersial Nilai 3, Negeri Sembilan harus dipandang serius pihak berkuasa.
Aktivis dan peguam, Asiah Abd Jalil menerusi hantaran Facebook berkata, kesalahan yang dilakukan selebriti tersebut mungkin tidak lagi relevan dengan hanya menerima kompaun sebagai denda.
“Kesalahan berikutnya mungkin dah tak sesuai nak kompaun. Neelofa dan laki lebai (PU Riz) dia tu perlu didakwa di mahkamah dan dihukum penjara.
“Minah (Neelofa) tu tak serik. Betul ke mak dia rasa sejuk masa mengandungkan dia?,” tulisnya hari ini.
Pada hantaran berasingan, Asiah turut menyifatkan tindakan Neelofa mencetuskan kontroversi melanggar prosedur operasi standard (SOP) hanya untuk mendapatkan perhatian.
Menurutnya Asiah, selepas menerima kecaman netizen, selebriti tersebut akan muncul dengan beberapa foto aksi ‘manja’ bersama suaminya, atau melancarkan produk keluaran terbaharunya.
Terdahulu, sekali lagi Neelofa dan PU Riz menjadi perbualan netizen selepas dikatakan ‘kantoi’ merentas negeri.
Kali ini, tular di media sosial mendakwa Neelofa dan suaminya, PU Riz dilihat sedang membeli karpet di pusat komersial Nilai 3, Negeri Sembilan.
Menerusi beberapa hantaran, netizen dapat menangkap lokasi keberadaan pasangan kontroversi tersebut apabila sedang mengunjungi gedung karpet di kawasan membeli belah itu.
Malah, beberapa tangkap layar menunjukkan Neelofa turut memuat naik video di Insta Story ketika pemilik Gedung kapet itu mempromosikan perniagaannya.
Namun begitu, semakan di Instagram Neelofa mendapati video tersebut telahpun di padam.
Sebelum ini, Neelofa dan keluarga didenda RM60,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis pernikahannya di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Mac lalu. – Malaysiapost