Dah sejuk tetap rangup dan tak berminyak, resepi rahsia bancuhan tepung goreng pisang dikongsi dari peniaga 20 tahun untuk diguna berniaga

Dah sejuk tetap rangup dan tak berminyak, resepi rahsia bancuhan tepung goreng pisang dikongsi dari peniaga 20 tahun untuk diguna berniaga

Seorang penjual pisang goreng yang sudah meniaga selama 20 tahun telah berjaya mencuri perhatian daripada orang ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, peniaga berkenaan sanggup membocorkan resipi rahsia bancuhan tepung goreng pisang buatannya kepada orang ramai menerusi laman Facebook.

Kata peniaga berkenaan, resepi yang dikongsikannya itu turut boleh digunakan untuk menggoreng makanan lain seperti ubi keledek goreng, tauhu, roti dan juga kuih kasturi.

“Saya berniaga sudah lebih 20 tahun. Alhamdulillah pelanggan suka tepung goreng saya sebab rangup dan tidak berminyak. Nah, saya kongsi resepinya. Ini cara saya.

“Jangan ada yang toksik nak bandingkan dengan resepi orang lain. Cara kita tak sama. Jadi kita patut raikan perbezaan.” Katanya yang berkongsi dua versi resepi.

VERSI TEPUNG BERAS

  • 1 cawan tepung beras
  • 2 sudu tepung ubi
  • 1 sudu teh air kapur
  • 1 sudu teh gula bagi merangupkan lagi tepung goreng
  • Setengah sudu teh garam
  • Setengah cawan air
  • Pewarna kuning telur (jenis serbuk lebih lembut)

VERSI TEPUNG GANDUM

  • 1 cawan tepung gandum
  • 2 sudu tepung kastard
  • 2 sudu minyak
  • 1 sudu teh gula
  • Setengah sudu teh garam
  • Setengah cawan air

Untuk versi tepung gandum, pewarna tidak diperlukan kerana bancuhan tepung kastard sudah cukup untuk menghasilkan warna kuning.

Bancuh kesemua bahan atau kisarkan sahaja. Namun perlu diingatkan, air perlu dimasukkan terlebih dahulu sebelum tepung supaya tidak melekat pada jag pengisar.

CARA MENGGORENG :

1. Panaskan minyak – betul-betul panas supaya muncul kerak-kerak di pisang goreng seperti di dalam gambar.

2. Masukkan pisang – jangan terlalu penuhkan kuali. Apabila sudah cukup, terus terbalikkan pisang. Ini bagi mengelakkan ia tidak melekat satu sama lain.

3. Kecilkan sedikit api – supaya pisang tidak rentung. Namun api tidak boleh terlalu kecil nanti tepung menjadi lemau dan serap minyak.

4. Kalau untuk roti goreng tidak perlu dibalikkan ya. Tunggu roti kekuningan dahulu sebelum dibalikkan, cukup sekali balik sahaja.