‘Dah puasa tapi tak dapat gaji lagi’
UMPAMA menunggu buah yang tak gugur, rata-rata pemain Perak FC menagih belas kasihan pihak pengurusan kelab itu untuk melunaskan tunggakan gaji mereka yang masih berbaki sebulan.
Bagi mereka, tunggakan gaji itu amat diperlukan untuk melunaskan pembayaran ansuran pinjaman bank selain sebagai ‘duit poket’ sepanjang bulan Ramadan ini.
“Sekarang dah masuk bulan puasa tetapi kami masih belum menerima gaji bagi bulan Mac. Situasi itu sudah tentu memberikan kesukaran kepada kami untuk berbelanja menyambut Ramadan.
“Bukan saja yang menyambut puasa, tetapi saya percaya pemain-pemain yang bukan beragama Islam juga turut terkesan. Mereka juga mempunyai komitmen lain untuk dilunaskan.
“Kami benar-benar amat berharap masalah ini (tunggakan pembayaran gaji) tidak berpanjangan. Buat masa ini, kami masih menunggu berita daripada pihak pengurusan berkenaan tunggakan gaji bulan Mac,” kata sumber kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sebelum ini, kem Perak FC digegarkan dengan berita tunggakan gaji pemain dan pegawai yang dikatakan lebih dua bulan tatkala saingan Liga Malaysia (Liga-M) baru saja bermula.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed memaklumkan bayaran gaji bagi Februari 2021 sudah dilunaskan membabitkan jumlah RM900,000 daripada dana kerajaan negeri.
Malah, bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang agak meruncing itu, Khairul Shahril yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perak FC menjelaskan pihaknya sedang mencari pelabur untuk mengambil alih kelab tersebut.
“Kami bersyukur apabila tunggakan gaji bulan Februari dah selesai. Tetapi kami tetap berharap pihak pengurusan dapat melunaskan tunggakan untuk bulan Mac dalam masa terdekat.
“Daripada apa yang kami dengar, tunggakan gaji bulan Mac akan dibayar sekali gus dengan bulan April. Jadi harapnya apa yang dikatakan itu benar dan kami tunggu dan lihat macam mana,” ujarnya. – SH