“Dah bertahun saya tag, baru sekarang nak respon?” – Cikgu Fadli ‘sindir’ Menteri KPM

“Dah bertahun saya tag, baru sekarang nak respon?” – Cikgu Fadli ‘sindir’ Menteri KPM

 

Penyandang jawatan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mahu berjumpa guru yang mendakwa berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan masalah silibus aras tinggi bagi subjek matematik dan isu beg berat murid.

Beliau menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi memaklumkan ingin mengetahui lebih lanjut perkara dibangkitkan guru berkenaan, Mohd. Fadli Mohamed Salleh.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada pejabat pendidikan daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Membalas hasrat itu, Mohd. Fadli mempersoalkan mengapa baru sekarang Mohd. Radzi ingin berjumpa dengannya sedangkan dia telah memperjuangkan mengenai isu tersebut sejak sekian lama.

Ramai wartawan dan rakan-rakan media cuba hubungi saya untuk temubual.

Maaf rakan-rakan media sekalian, saya masih penjawat awam. Saya tak boleh bersiaran atau mengeluarkan kenyataan pada pihak media tanpa kelulusan KPM.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin juga ada tag saya. Nak jumpa bincang isu yang saya sebut katanya.

Baru malam ni beliau respon sedangkan saya berkali-kali tag beliau sebelum ini, saya komen di post beliau, saya komen di page KPM merujuk pada beliau sejak bertahun lamanya. Tak pernah beliau respon walau sekali. Baru malam ini ada respon.

Kenapa agaknya baru malam ini? Bukan masa saya dipanggil unit integriti tahun lepas? Bukan masa saya tag dan komen pada post beliau dan post KPM berkali-kali sejak bertahun lama?

Rasanya sebab kebangkitan rakyat. Rakyat marah sebab isu ini melibatkan anak-anak mereka juga. Orang ramai marah sebab KPM nak buang kerja kerana kejujuran saya.

Kemarahan rakyat jangan dibuat main. Boleh tumbang satu negara. Boleh tumbang kerajaan kerana kebangkitan rakyat.

Rakyat dah bangkit dan bagi signal merah malam ni. Agaknya setelah melihat kebangkitan rakyat yang terlalu kuat, baru Yb terus respon nak jumpa saya.

Apa pun alasannya, tak apalah. Saya bersangka baik Yb cuba memahami denyut nadi dan luahan akar umbi. InsyaAllah one fine day kita akan jumpa.

Terima kasih kepada yang memberi sokongan. Suka saya ingatkan, saya tak ada buka apa-apa tabung. Kewangan saya masih stabil dan mampu untuk bayar kos lawyer dan mahkamah setakat hari ini. Masa depan saya tak pasti lagi.

Sebab saya masih ingat masa dipanggil ke oleh Unit Aduan JPN Selangor beberapa tahun lepas, pegawai JPN En Zul ada berkata,

“Cikgu pasang lawyer macamana pun, susah nak menang. Kerajaan ada lawyer mereka sendiri. Dan antara tektik mereka ialah melengah-lengahkan perbicaraan sampai bertahun-tahun lamanya. Sampai duit cikgu habis dan terpaksa give up”.

Itu yang beliau bagitahu saya. Dan jika teknik ini mereka guna terhadap saya sehingga saya tak mampu bayar kos guaman dan mahkamah, mungkin masa tu saya perlu bantuan kawan-kawan.

Namun untuk setakat ini, semua masih dalam kawalan.

Dan kepada ahli-ahli politik tak kira dari parti mana, jangan gunakan isu ini sebagai modal politik kalian.

Umum tahu saya tak pernah berpolitik dan tak pernah mendaftar sebagai ahli mana-mana parti politik. Nak bantu sama-sama perjuangkan, silakan. Namun nak jadikan sebagai senjata dan modal politik, saya takkan bersama kalian.

Okeh. Tu ja nak cakap. Selamat malam Malaysia.

Mohd Fadli Salleh