“Dah 2 bulan sangkut” – Pemandu e-hailing mengaku kerja kerajaan, tipu isteri buat ‘loan’ untuk beli Honda
Bagi sesetengah orang, kehidupannya tidaklah semewah seperti yang disangka.
Berkongsi cerita, seorang lelaki memaklumkan dirinya bergelar suami sejak dua tahun lalu sambil membuat pengakuan dia sebenarnya menipu isteri mengenai pekerjaannya.
“Saya ada masalah yang sangat besar sekarang ni. Saya dah dua tahun nikah. Apa yang isteri saya tahu bahawa saya kerja kerajaan (penjawat awam).
“Sebenarnya saya kerja pemandu XXX (e-hailing) je. Selama ni saya tipu dia untuk kesenangan hidup,” luahnya di grup Facebook.
Menurut mStar, dia pada mulanya menjangkakan dapat menambah pendapatan berlipat kali ganda pada tahun ini dengan hasil pendapatan sebagai pemandu e-hailing.
Disebabkan begitu yakin, dia nekad membeli kereta baharu dengan bantuan isterinya yang membuat pinjaman bank.
“Saya buat loan atas nama isteri saya… saya beli Honda Accord untuk buat (e-hailing),” ujarnya.
Namun nasib tidak menyebelahinya kerana apa yang berlaku tidak seperti yang dirancang.
Lebih memburukkan keadaan apabila dia mengalami kekangan kewangan sehingga bayaran balik pinjaman kereta tertunggak.
“Sekarang dah dua bulan sangkut payment,” katanya.
Walau bagaimanapun, dia tetap meneruskan penyamaran di hadapan isterinya dan melakukan kerja sebagai pemandu e-hailing apabila berada di luar rumah.
“Saya keluar pakai kemeja acah-acah kerja ‘gomen’. Saya risau kantoi dengan isteri saya. Hutang dah sangat banyak,” katanya yang buntu dengan masalah yang dialaminya.
Pengakuannya itu ternyata mengejutkan warga maya yang tidak menyangka dia tergamak menipu isterinya sendiri sehingga membuat pinjaman bank untuk membeli kereta.
“Buat loan tak nak kalah, beli Accord. Kenapa tak beli Saga BLM je buat (e-hailing)? Tipu pula bini sendiri. Kena apa-apa menyesal tak sudah. Bini habis canang dah merata suami kerja ‘gomen’.
“Dah la guna nama bini buat loan. Beli Accord pula tu. Jual balik la kereta tu, guna Axia je. Hentikan keinginan nak kelihatan mewah. Masih sempat nak balik ke pangkal jalan.
“Dah nak kantoi baru gelabah cari jalan. Hidup ni jangan nak bergaya, asalkan makan pakai cukup,” demikian antara komen warga maya.
Meskipun dikritik hebat kerana tindakannya menipu isteri, masih ada warga maya yang bersimpati dengan nasibnya dan cuba memberi penyelesaian.
“Cakap je ‘Abang dah berhenti kerja. Abang sekarang bawa (e-hailing). Abang berhenti sebab jiwa abang tak ada kat ‘gomen’. Abang nak kerja sendiri. Rezeki daripada Allah. Maafkan abang, sayang‘.
“Terus-terang sekarang lebih baik daripada isteri dapat tahu sendiri di kemudian hari. Kejujuran susah nak cari dan tidak dijual beli. Kesilapan boleh diubah, mana manusia tak buat silap,” komen beberapa warga maya.