Cucu Mat Kilau jawab dakwaan Istana upah pembunuh buru Mat Kilau, “Ini pembohongan besar!”

Cucu Mat Kilau jawab dakwaan Istana upah pembunuh buru Mat Kilau, “Ini pembohongan besar!”

 

“Dakwaan ini dakwaan yang melampau dan pembohongan besar dan juga satu gerakan yang cuba seolah-olah melagakan pihak Istana dengan pejuang-pejuang Pahang. Sebenarnya perjuangan menentang Inggeris di Negeri Pahang ini juga mendapat restu daripada pihak Istana,” ujar cucu Mat Kilau, Hj Mohd Al-Hamadi bin Haji Abu Bakar, ketika menjawab soalan yang diutarakan wartawan Samudera.my mengenai dakwaan sebuah akaun Twitter yang menyatakan bahawa Mat Kilau bersembunyi kerana Istana Pahang mengupah pembunuh untuk memburu Mat Kilau.

Beliau yang juga merupakan Guru Besar di sebuah sekolah di Kuantan itu turut mendedahkan dokumen dan bahan bukti yang menunjukkan penglibatan YAM Tengku Arif Bendahara Pahang pada ketika itu yang bertemu dengan Mat Kilau.

“Bersama dengan saya ini sebagai bukti, iaitu gambar YAM Tengku Arif Bendahara telah berjumpa sendiri untuk turun bertemu dengan Mat Kilau di hari pengisytiharannya di Batu 5 Paya Besar Kuantan. Ini menandakan bahawa perjuangan mereka adalah mendapat restu dari pihak Istana.”

Perjuangan Mat Kilau, Dato’ Bahaman Dan Tok Gajah Semasa Di Era Kemasukan Inggeris di Negeri Pahang

Mereka, pejuang-pejuang Pahang ini pernah bertemu dengan pihak Istana dengan melakukan sumpah setia dikenali sebagai Sumpah Sg. Salai di Jerantut di sini menunjukkan bahawa Istana juga merestui perjuangan-perjuangan mereka dan mereka pejuang-pejuang Negeri Pahang tetap taat setia kepada Raja dan Negara.

Hj. Mohd Al-Hamadi bin Haji Abu Bakar, Cucu Kepada Mat Kilau Melalui Anak Perempuan Mat Kilau, Zaleha Binti Muhammad

“Mak saya Zaleha binti Muhammad. Muhammad itu ialah Mat Kilau. Saya ialah cucu Mat Kilau dari isterinya yang ketiga, yang duduk di Kuantan, dan arwah Mat Kilau ini meninggal di rumah mak saya. Mak saya memelihara Mat Kilau hampir 30 tahun. Banyak pesanan-pesanan yang dilontarkan Mat Kilau kepada kami untuk diamal dan disebarkan kepada kita orang Melayu.”

Ketika ditanyakan apakah di antara pesanan penting yang pernah dititipkan oleh Mat Kilau, beliau menambah,

“Antara peninggalan pesanan Mat Kilau ialah kita kena jaga agama, jaga bangsa dan bangsa kita bangsa berdaulat yang beraja sebab sistem beraja ini adalah sistem yang hampir dengan sistem khalifah ianya boleh menyatukan kita menjadi satu bangsa yang berdaulat dan disegani di dunia.”