Cuba ceroboh kem, lelaki bersenjata parang maut ditembak

Cuba ceroboh kem, lelaki bersenjata parang maut ditembak

Seorang bekas tentera yang bersenjatakan parang, mati ditembak ketika menceroboh dan menyerang pengawal Kem Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan (4RS) di sini, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata sebelum pergelutan berlaku dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, lelaki berusia 35 tahun itu yang datang dari luar sudah diberi amaran oleh anggota tentera yang melakukan kawalan di pos pintu hadapan kem berkenaan.

“Dalam pergelutan itu, anggota tentera pengawal pos berkenaan melepaskan tembakan dan mengenai lelaki terbabit.

“Tentera kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dan menghantar lelaki terbabit ke Hospital Gerik, untuk mendapatkan rawatan, tetapi dia kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, lelaki terbabit adalah bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat pada 2003 dan ditamatkan perkhidmatannya pada 2013 kerana mengalami masalah mental.

Katanya, pihak IPD Gerik juga pergi ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan dan merampas beberapa barangan berkaitan kes itu.

“Polis juga sedang menunggu laporan bedah siasat yang akan dibuat hari ini di Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 9, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan polis akan melengkapkan kertas siasatan serta merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan mengharap tiada sebarang spekulasi daripada orang ramai sehingga menjejaskan siasatan,” katanya. – BH