Cuaca panas, suhu di Perlis & Pokok Sena boleh cecah 40 darjah Celcius

Cuaca panas, suhu di Perlis & Pokok Sena boleh cecah 40 darjah Celcius

 

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini memaklumkan status cuaca panas tahap dua (gelombang haba) direkodkan di kawasan Pokok Sena, Kedah dan keseluruhan Perlis.

Menurut infografik yang dikeluarkan di laman facebooknya, suhu gelombang haba tahap dua itu mencecah antara 37 hingga 40 darjah celcius (°C) sekurang-kurang untuk tiga hari berturut-turut.

Selain itu, METMalaysia turut mendapati 27 kawasan lain di negara ini merekodkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) dengan suhu maksimum harian mencecah 37 darjah celsius untuk tempoh yang sama.

Kawasan-kawasan berkenaan termasuklah Kota Belud di Sabah, beberapa kawasan di Kedah, Perak, Timur Laut Pulau Pinang, Johor, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Alor Gajah di Melaka, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada ramalan dari masa ke masa bagi menerusi laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia.

Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat sahih berkaitan keadaan cuaca terkini di satu-satu lokasi di Malaysia.

Tip kekal sihat pada musim panas

Keadaan panas yang tidak berpenghujung dilaporkan kebelakangan ini amat membimbangkan kerana ia membawa kepada pelbagai risiko kesihatan yang serius, termasuklah boleh menyebabkan strok haba.

Strok haba adalah keadaan yang serius yang berpunca daripada pendedahan kepada suhu yang tinggi dan boleh membawa maut. Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku, adalah penting untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang sesuai.

Justeru itu, SK hari ini ingin berkongsi tip kesihatan yang berguna bagi orang ramai agar kekal sihat dan bertenaga pada musim panas yang menguji di bulan Ramadan ini. Tip ini dipetik daripada perkongsian Hello Doktor.

Banyakkan minum air putih dan isotonik

Pada musim panas, adalah sangat penting untuk tubuh badan kekal berhidrasi. Oleh itu, individu perlu memastikan pengambilan air putih yang mengcukupi setiap hari.

Selain itu juga, anda juga boleh mengambil minuman air isotonik untuk menggantikan kandungan garam dan mineral yang keluar melalui peluh.

Kurangkan minum air berkafein, bergula dan beralkohol

Menurut Hello Doktor lagi, anda juga perlu mengurangkan pengambilan air berkafein, bergula atau beralkohol kerana minuman berkenaan tidak bagus untuk kesihatan terutamanya ketika musim panas.

Minuman-minuman berkenaan boleh menyebabkan anda kerap membuang air dan mengakibatkan cecair dalam badan berkurangan.

Luangkan masa dengan bijak

Seterusnya, anda juga perlu bijak merangkan jadual dan masa yang hendak diluangkan di luar ketika musim panas. Adalah lebih baik untuk kekal di dalam rumah, supaya anda terlindung daripada cuaca panas dan terik matahari.

Sapukan losyen pada kulit

Tip lain yang anda boleh amalkan juga adalah dengan mengenakan losyen pada kulit di musim panas.

Ia bagi memastikan kulit anda kekal gebu, bersih, sihat dan dilindungi sepanjang musim panas ini. Anda juga boleh menggunakan losyen ‘sunblock’ bagi mengelakkan kulit anda terbakar.

Jangan duduk lama di dalam kenderaan

Dalam pada itu, anda juga perlu mengelak daripada berada dalam kenderaan terlalu lama, lebih-lebih lagi jika kenderaan tidak mempunyai penyaman udara atau rosak.

Bahang dan haba panas dalam kenderaan dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan anda.

Pakai pakaian yang sesuai

Pada musim panas, anda disaran untuk mengelak daripada menggayakan pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap. Pakaian-pakaian ini cuma sesuai ketika musim sejuk, namun pada musim panas kesannya pada badan mungkin berbeza.

Oleh itu, pakailah pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang ketika musim panas ini. Anda juga digalakkan untuk membawa payung atau topi ketika berada di luar supaya mudah berlindung daripada cuaca panas.