Cuaca panas dijangka berterusan sehingga hujung Mac

Cuaca panas dijangka berterusan sehingga hujung Mac

 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan meramalkan suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang setiap Februari hingga Mac ini.

Ketua pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah memberitahu negara kini berada pada fasa terakhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga Mac 2024.

Dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat, terutamanya di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.

Ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas kering berbanding kebiasaan.

“Cuaca panas yang dialami pada ketika ini adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei.

“Dalam tempoh ini, suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik pada Selasa.

Muhammad Helmi berkata setakat ini, suhu tertinggi yang dicatatkan oleh stesen meteorologi utama MET Malaysia adalah 36 darjah Celsius, iaitu di Cuping, Perlis pada 8 Februari lalu.

“Berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dunia pada ketika ini, dijangka suhu maksimum harian di negara kita boleh menjadi lebih tinggi dikebanyakan tempat,” maklum kenyataan itu.

Tambah Muhammad Helmi, pihaknya menasihatkan semua pihak mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air dalam keadaan cuaca panas.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas. Ikuti saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengekalkan keadaan kesihatan semasa cuaca panas.

“MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara. Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia,” ujarnya