Covid 19: Wanita mati dalam kereta ketika menunggu rawatan
Seorang wanita yang dijangkiti Covid-19 meninggal dunia di dalam kereta di tempat letak kenderaan di sebuah hospital di Noida selepas menunggu kekosongan katil selama tiga jam.
Lapor Daily Mail, Jagriti Gupta, 36, terbaring lemah dan tercungap-cungap di dalam kereta ketika rakan-rakannya merayu kepada petugas perubatan supaya memberikan rawatan segera.
Namun, petugas perubatan tidak dapat memberi layanan segera kepada wanita itu memandangkan situasi di hospital berkenaan turut kritikal dengan jumlah pesakit Covid-19 yang sesak.
Menurut seorang saksi, dia melihat bagaimana rakan Gupta merayu kepada petugas perubatan supaya melihat keadaan wanita tersebut yang sedang nazak.
“Kira-kira pukul 3.30 petang waktu tempatan, wanita itu menghembuskan nafas terakhir dan rakannya memaklumkan kepada kaunter.
“Petugas perubatan keluar untuk memeriksanya dan mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia,” jelas saksi tersebut.
Sehingga hari ini, India merekodkan sebanyak 19.2 juta kes dan 212,000 kematian akibat Covid-19. – Utusan