Covid-19: Pesakit lari dari hospital ditahan semula

Covid-19: Pesakit lari dari hospital ditahan semula

Seorang pesakit koronavirus (Covid-19) yang melarikan diri dari Hospital Slim River semalam berjaya ditahan semula selepas lebih satu jam hilang.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki berusia 29 tahun dan merupakan warga tempatan itu dilaporkan melarikan diri dari wad 7 hospital terbabit sekitar jam 4.48 petang.

Bagaimanapun menurutnya, individu yang dipakaikan gelang positif Covid-19 berwarna biru muda itu dijumpai semula sepasukan anggota ronda Cegah Jenayah Balai Polis Slim River di kawasan Bandar Baru berhampiran sebuah stesen minyak di Slim River kira-kira jam 6 petang.

“Sepasukan petugas kesihatan yang lengkap berpakaian perlindungan peribadi (PPE) datang mengambilnya untuk dibawa semula ke Hospital Slim River.

“Maklumat terkini hasil saringan Covid-19 terhadap lelaki tersebut disahkan negatif,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, lelaki terbabit sepatutnya dibenarkan keluar dari hospital hari ini.

“Polis kemudiannya membuat semakan rekod jenayah dan mendapati, lelaki tersebut mempunyai enam rekod lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan 269 Kanun Keseksaan serta 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Sumber: Sinar Harian