Covid-19: Perak pula mohon pinjam vaksin dari Selangor

Covid-19: Perak pula mohon pinjam vaksin dari Selangor

 

Kerajaan Perak meminjam sejumlah dos vaksin COVID-19 daripada Selangor bagi membolehkan populasi dewasa negeri ini menerima imuninasi.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, berkata surat rasmi berhubung perkara itu dihantar pagi tadi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim kepada kerajaan Selangor.

“Surat dihantar untuk membolehkan kita meminjam vaksin dari Selangor. Insya-Allah kita akan bayar balik vaksin kepada kerajaan negeri itu selepas kita dapat balik (bekalan) daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PH- Sungai Rapat) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Pulau Pinang sebelum ini meminjam 200,000 dos vaksin daripada Selangor bagi membolehkan 225,226 populasi dewasa negeri itu menerima suntikan imuninasi pertama COVID-19.

Saarani bagaimanapun tidak memperincikan jumlah dos vaksin yang ingin dipinjam daripada kerajaan Selangor.

Sementara itu, katanya, sehingga 28 Ogos lalu, bekalan vaksin diterima Perak adalah 2.383 juta dos, merangkumi Comirnaty-Pfizer (1.279 juta), Sinovac (1.007 juta) termasuk sumbangan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Astrazeneca (94,820), dan CanSino (2,000).

“Perak negeri yang mencapai peratusan tinggi bagi kadar penggunaan stok vaksin yang dibekalkan iaitu antara 89 hingga 95 peratus. Sehingga kini jumlah vaksin diterima Perak adalah sebagaimana yang dijanjikan kerajaan Persekutuan.

“Namun adakalanya bekalan diterima agak lewat dari tarikh yang dijanjikan yang sedikit sebanyak menjejaskan perancangan CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19) negeri,” katanya.

Sumber: Berita Harian