Covid-19: 4 pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah disahkan positif

Covid-19: 4 pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah disahkan positif

Empat pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah, di sini, disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin dalam kenyataan berkata, empat pelajar berkenaan dikesan positif selepas ujian calitan dilakukan terhadap lebih 300 pelajar dan guru.

“Selepas menjalani swab test, empat orang daripadanya didapati positif iaitu dua daripadanya Tingkatan 6, masing-masing seorang Tingkatan 3 dan 4.

“Susulan itu, lebih 70 pelajar menjalani kuarantin di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Ulu Kinta dan selebihnya di sekolah Taayah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Program Ijtimak Perkaderan Dakwah Negeri Perak di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Mohd Akmal berkata, mereka sudah menjalani kuarantin sejak Ahad lalu berikutan sebahagiannya bergejala dan mempunyai kontak rapat.

“Terbaru seorang lagi mengalami sesak nafas, tetapi kita tidak memastikan lagi sama ada positif atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada lagi makluman terdapat pelajar positif di Sekolah Izzuddin Shah di sini.

Sebelum media melaporkan Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini ditutup sementara berikutan seorang pelajar dikesan positif Covid-19.

Sumber: Harian Metro