Netizen bengang ‘time management’ hotel makin merapu, check-in lambat tapi check-out awal
Isu waktu check-in dan check-out di hotel tempatan mahupun inap desa menjadi perbincangan hangat di media sosial apabila didakwa semakin tidak masuk akal.
Perkara itu dibangkitkan oleh seorang pengguna di platform X yang menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk campur tangan bagi menyelaraskan waktu daftar masuk dan keluar hotel-hotel di sini.
Dia meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan hotel yang kini menetapkan waktu daftar masuk semakin lewat tetapi mempercepatkan waktu daftar keluar.
“Daftar masuk pukul 4 petang, daftar keluar pukul 11 pagi bagi saya melampau. Atau kita kempen boikot hotel yang buat polisi ini. Siapa setuju, apa pandangan?” katanya.
Luahan pengguna itu telah meraih perhatian ramai, rata-ratanya berasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan semakin lama semakin singkat.
Malah, netizen juga membandingkan dengan negara-negara jiran yang dikatakan lebih berbaloi untuk bercuti kerana pengurusan masa yang memudahkan pelanggan berbanding dengan penginapan di sini.
Selain itu, netizen juga menyindir isu ini pasti akan dikaitkan dengan masalah kekurangan kakitangan atau perlu mengambil masa yang lama untuk membersihkan bilik yang menjadi punca utama waktu daftar masuk lewat.
Justeru, netizen bersetuju mana-mana hotel yang mengamalkan polisi ini wajar diboikot.
Sebenarnya, pemilik hotel atau inap desa bebas menetapkan waktu daftar masuk dan keluar premis mereka.
Menurut Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh, penetapan tersebut tidak termaktub dalam sebarang undang-undang perhotelan dan ia merupakan polisi syarikat yang perlu dipatuhi pelanggan.