Ceroboh kebun orang kutip biji sawit

Ceroboh kebun orang kutip biji sawit

 

Penduduk di Titi Gantong di sini berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap ‘penceroboh’ yang mengutip biji sawit di kebun mereka sejak beberapa minggu lalu.

Rungutan itu timbul selepas kejadian terbabit dimuat naik di Facebook yang mendakwa individu dipercayai dari Kampung Jering, Ayer Tawar datang ke Titi Gantong hanya untuk mengutip biji sawit.

Kebun sawit di Parit 7 hingga Parit 10 di Titi Gantong dikatakan menjadi sasaran ‘penceroboh’ itu yang datang hampir setiap hari menaiki motosikal tanpa kebenaran pemilik kebun dan membawa balik guni besar berisi biji sawit.

Penduduk Muhammad Aysraf Mohd Ariffin, 28, berkata, perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu segera diambil tindakan supaya ia tidak merebak ke kebun di kawasan lain.

Katanya, dia mengetahui perkara itu malam tadi selepas ia tular di media sosial dan setakat ini kebun sawitnya di Parit 11 tidak diceroboh individu berkenaan.

“Berdasarkan maklumat perbuatan itu dilakukan di kebun sekitar Parit 7 hingga Parit 10 saja tetapi jika perkara ini tidak diambil tindakan segera kita bimbang akan melarat ke kawasan lain pula.

“Kami bimbang jika suatu hari nanti mereka akan membawa galah pula. Saya berharap polis dapat mengambil tindakan terhadap masalah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kebanyakan pekebun yang mengusahakan sendiri kebun mereka jarang mengutip biji sawit, namun pencerobohan itu tidak sepatutnya berlaku.

“Harga sawit sekarang mahal kira-kira RM1,300 untuk satu tan sawit di Titi Gantong, mungkin sebab itu mereka membuat ‘kerja’ ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Barudin Wariso ketika dihubungi berkata, setakat ini tiada laporan polis diterima pihaknya.

“Tetapi polis akan siasat perkara ini dan pihak berkenaan juga diminta membuat laporan kepada balai terdekat,” katanya.