Ceroboh Gua Matsoorat: MBI tarik balik kelulusan penggambaran syarikat produksi

Ceroboh Gua Matsoorat: MBI tarik balik kelulusan penggambaran syarikat produksi

Syarikat produksi drama yang menceroboh masuk ke Gua Matsoorat sehingga merosakkan fosil berusia jutaan tahun di situ tidak jujur apabila hanya memohon kebenaran untuk melakukan penggambaran di kawasan luar gua serta sekitar bandar raya itu sahaja dan berjanji mematuhinya.

Malah, tindakan kru penggambaran dari Kuala Lumpur itu memasuki kawasan warisan bersejarah berkenaan adalah satu kesalahan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya telah memberikan kelulusan kepada syarikat berkenaan untuk menjalankan penggambaran di kawasan luar gua serta sekitar bandar raya Ipoh sehingga 30 April ini.

“Ya, saya mengesahkan berlaku pencerobohan Gua Matsoorat dan fosil berusia jutaan tahun dirosakkan selepas satu syarikat produksi menjalankan penggambaran di kawasan tersebut baru-baru ini.

“Saya kata ia pencerobohan gua kerana kita bagi kebenaran di kawasan gunung tersebut cuma tidak dibenarkan masuk gua kerana masih dalam kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkaitan fosil,” ujarnya.

Beliau ditemui pemberita pada program Gotong-royong Denai Sungai Kebangsaan sempena Hari Air Sedunia 2021 di Dataran Sungai Kinta di sini hari ini.

Menurut Rumaizi, wakil syarikat produksi itu bagaimana pun ada berjumpa beliau pada Rabu lalu dan mengakui kesilapan yang dilakukan manakala laporan penuh berhubung insiden itu akan diumumkan selepas selesai siasatan.

“Saya minta mereka buat baik pulih semula. Berdasarkan laporan yang diterima daripada JMG setakat ini, fosil berkenaan boleh dibaik pulih.

“Kita juga telah menarik balik kelulusan penggambaran kepada syarikat dan susulan kejadian itu kawasan gua akan diketatkan kawalan ketat bagi mengelakkan penceroboh,” ujarnya.

Media semalam melaporkan, sebuah syarikat produksi drama mengaku bertanggungjawab merosakkan fosil berusia jutaan tahun di Gua Matsoorat berhampiran Gunung Lang dekat sini termasuk bahagian dinding gua semasa menjalankan penggambaran di kawasan tersebut baru-baru ini.

Kerosakan pada gigi fosil mamalia herbivor yang dipercayai berlaku pada 18 Mac lalu dengan kesan seperti diusik oleh pihak yang tidak diketahui.

Susulan penularan berita berkenaan, pengarah Michael Ang menerusi laman Instagramnya menyatakan kekesalan akan insiden itu dan akan bekerjasama dengan MBI selain mengesan individu yang melakukan perbuatan itu. – Utusan