Cemas bapa diserang sakit jantung

Cemas bapa diserang sakit jantung

 

Panik semasa membawa bapa yang diserang sakit jantung menjadi punca seorang lelaki memandu kereta sehingga memasuki ruang legar berhampiran Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian berlaku 11.30 malam tadi yang mana seorang lelaki dalam keadaan panik dan cemas membawa bapanya yang diserang sakit jantung.

“Selepas kereta diberhentikan, pemandunya keluar menjerit-jerit meminta bantuan pihak hospital sebelum dia ditenangkan selain diminta oleh petugas hospital untuk mengalihkan keretanya itu ke bahagian tempat letak kenderaan awam.

“Tiada sebarang perlanggaran, kecederaan, selain kerosakan harta awam susulan insiden ini. (Juga) tiada sebarang laporan polis dibuat mana-mana pihak mengenainya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pesakit iaitu bapa kepada pemandu kereta berkenaan seterusnya dimasukkan ke wad untuk rawatan hingga kini.

Terdahulu, video berdurasi 54 saat disebarkan di WhatsApp memaparkan kereta berkenaan yang dipercayai Perodua Kelisa warna kelabu memasuki ruangan legar bangunan HRPB berhampiran Jabatan Kecemasan HRPB.

Video itu antara lain turut memaparkan kelibat seseorang lelaki dipercayai pemandu kereta itu yang mengendong bapanya sebelum meletakkan mangsa ke atas katil sorong untuk dibawa ke Jabatan Kecemasan HRPB.

Sumber: Harian Metro