Sanggup bayar sehingga RM600, ini sebab kenapa ramai cari tali pengikat kain kafan

Sanggup bayar sehingga RM600, ini sebab kenapa ramai cari tali pengikat kain kafan

 

Persatuan Kebajikan Pengurusan Jenazah Warga Terengganu (PJWT) mendedahkan ramai individu tidak bertanggungjawab datang ke tempat mereka untuk ‘membantu’ mereka membuat perkara khurafat.

Memetik Harian Metro, antara barangan yang sering diminta adalah tali pengikat kain kafan, sarung tangan, kapur barus, sabun dan pelbagai pelbagai barangan kegunaan pengurusan jenazah.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pengurusan Jenazah Warga Terengganu (PJWT), Wan Rosli Wan Mamat berkata golongan berkenaan memberi alasan mahu mendapatkan barangan itu untuk tujuan perubatan dan pelaris perniagaan.

Barangan tersebut menjadi rebutan oleh pengamal perubatan tradisional, pelaris dan juga kaki pancing.

“Lebih mencuit hati, ada individu yang datang untuk mendapatkan tali pengikat kain kafan dan apabila ditanya tujuannya, mereka menjawab untuk digunakan pada joran memancing.

“Apa yang dilakukan itu jelas menunjukkan perbuatan khurafat kerana bergantung kepada sesuatu untuk mendapatkan sesuatu sedangkan sebagai seorang Muslim, kita sepatutnya memohon kepada Allah SWT,” katanya yang juga imam di Masjid Kampung Pengkalan Berangan dekat sini.

Menurutnya, ada yang sanggup membayar tali pengikat kain kafan antara RM500 hingga RM600.

“Sepanjang 25 tahun menjadi pengurus jenazah, banyak kerenah yang saya hadapi tetapi saya tidak melayani permintaan itu yang disifatkan melampau selain bimbang disalahgunakan.

“Saya berharap permintaan ‘pelik’ seperti ini dapat dihentikan kerana ia berkait dengan akidah serta hukum hakam agama dan kebersihan,” katanya.